Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

10 Makanan yang Mampu Merendahkan Kolesterol

Tahap kolesterol LDL yang tinggi dari segi perubatan dikenali sebagai hiperkolesterolemia. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), lebih daripada satu pertiga daripada orang dewasa Amerika mempunyai tahap LDL atau kolesterol “jahat”. Hal ini didapati dapat meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular antaranya termasuklah penyakit jantung dan serangan jantung. Kolesterol dibahagikan kepada tiga kategori iaitu lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), lipoprotein berketumpatan sangat rendah (VLDL) yang mungkin memerlukan ubat-ubatan dan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL). LDL dan VLDL adalah tidak baik untuk kesihatan anda, manakala HDL pula adalah baik untuk kesihatan anda. Setiap individu dari semua peringkat umur, etnik dan jantina berpotensi untuk mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Beberapa faktor yang tertentu juga meletakkan anda pada risiko yang lebih tinggi untuk mempunyai tahap kolesterol yang tinggi seperti merokok secara berlebihan, obesiti, ukur lilit pinggang yang besar, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, hipotiroidisme dan kencing manis. Kebanyakan faktor-faktor ini adalah berpunca daripada gaya hidup anda. Manakala genetik pula adalah satu faktor risiko yang tidak dapat dielakkan tetapi berupaya untuk mengurangkan.

Mahupun tahap kolesterol yang tinggi tidak menunjukkan sebarang gejala, anda haruslah menjalani pemeriksaan tahap kolesterol dari semasa ke semasa. Jika tidak dijalankan pemeriksaan, kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan komplikasi kesihatan seperti sakit dada, serangan jantung dan strok. Dengan membuat perubahan dalam diet dan gaya hidup anda, ianya boleh membantu menurunkan tahap kolesterol anda. Berikut ialah beberapa makanan yang didapati boleh membantu mengurangkan tahap kolesterol anda pada tahap yang lebih sihat.

Oat

oat-kernel-extract-enlarged

Mengamalkan semangkuk hidangan oat untuk sarapan pagi setiap hari adalah satu cara yang sangat mudah untuk mengurangkan tahap kolesterol. Kandungan serat larut yang tinggi dalam hidangan oat didapati mampu membantu menurunkan paras LDL ke tahap yang lebih rendah. Ia juga dapat mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam aliran darah anda. Zat serat yang terkandung juga dapat mengisi perut anda dengan cepat dan membantu anda daripada makan makanan yang tidak sepatutnya.

Di samping itu, makan oat secara kerap dan konsisten turut dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes tahap 2. Sebagai langkah pengambilan hidangan oat dalam diet seharian, anda boleh memakan semangkuk oat untuk sarapan pagi pada setiap hari. Anda juga boleh menambah oat untuk dicampurkan bersama smoothie atau semasa menyediakan makanan yang perlu dibakar.

Badam

khasiat badam

Lemak monotaktepu, lemak politaktepu dan serat yang terkandung dalam badam didapati mampu membantu meningkatkan tahap kolesterol HDL yang baik dan mengurangkan tahap LDL tidak baik. Suatu kajian yang dijalankan dan disiarkan dalam Kajian Pemakanan mendapati bahawa pengambilan kacang pokok seperti badam dapat membantu mengurangkan kolesterol LDL yang menjadi sasaran utama bagi pencegahan penyakit koronari sebanyak 3 hingga 19 peratus.

Di samping itu, satu kajian yang baru dijalankan disiarkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika menyatakan bahawa penggunaan badam setiap hari boleh menjadikan ianya suatu strategi pemakanan yang mudah untuk mencegah daripada berlakunya penyakit kardio-metabolik. Badam juga dipercayai menjadi suatu makanan ringan yang berkhasiat atau sesuai dijadikan bahan tambahan untuk salad, bijirin dan yogurt. Kacang dan bijirin yang lain seperti walnut dan ‘flaxseeds’ juga bermanfaat untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam darah.

Jus oren

Jus oren yang manis, sedikit rasa masam dan menyegarkan adalah satu lagi diet yang didapati mempunyai ciri-ciri pengurangan kolesterol. Dalam suatu kajian yang dijalankan dan disiarkan dalam jurnal Persatuan Nutrisi Klinikal Amerika, penyelidik mendapati bahawa jus oren mampu memperbaiki profil lipid dalam darah pada seseorang yang mempunyai hiperkolesterolemia. Penyembuhan ini boleh berlaku kerana kehadiran vitamin C, folat dan flavonoid seperti hesperidin dalam jus oren yang segar.

Sekiranya anda mahu mengambil jus oren dalam diet harian dan mahu mendapatkan kebaikannya, anda boleh mula dengan meminum 2-3 cawan jus oren setiap hari. Jus yang segar dan baru diperah adalah pilihan yang lebih baik. Anda juga boleh mengambil minuman tumbuhan sterol yang berasaskan jus oren sebagai pilihan yang lain. Kandungan phytosterols dalam minuman tersebut juga mampu membantu menurunkan paras kolesterol ke tahap yang lebih rendah. Selain itu, anda boleh memakan beberapa biji oren setiap hari sekiranya menginginkan cara yang lebih cepat dan mudah.

Ikan salmon

khasiat ikan salmon

Ikan salmon juga didapati penuh dengan segala macam kebaikan khususnya protein dan potensinya untuk mengurangkan tahap kolesterol. Tinggi dengan omega-3 yang tidak hanya berfungsi sebagai anti-keradangan untuk melegakan sakit sendi dan artritis reumatoid, ia juga merendahkan trigliserida iaitu lemak dalam darah. Ikan salmon juga mengandungi vitamin D yang membantu tubuh menyerap kalsium untuk membina tulang yang kuat dan sangat disarankan kepada  mereka yang tidak mendapat cahaya matahari yang cukup.

Di samping itu, ikan salmon juga rendah kandungan lemak tepunya. Anda sangat disarankan untuk makan sekurang-kurangnya 2 hidangan salmon setiap minggu. Ikan salmon yang dibakar dan digril adalah suatu pilihan yang terbaik. Saiz untuk satu hidangan salmon adalah dianggarkan kira-kira 2-3 auns. Anda juga boleh mengambil makanan tambahan yang berasaskan minyak ikan salmon selepas mendapatkan saranan dan pengesahan daripada doktor atau pakar kesihatan.

Kacang soya dan produk berasaskan soya

tempe

Tempeh dan tauhu adalah antara produk hasilan kacang soya

Kacang soya dan produk berasaskan soya yang lain menawarkan manfaat dan kebaikan serta disarankan kepada mereka mengalami tahap kolesterol yang tinggi. Walaupun soya mungkin tidak menurunkan jumlah kolesterol ke tahap yang lebih sempurna, ia masih boleh menurunkan tahap kolesterol LDL yang didapati sangat tidak baik kepada kesihatan. Kacang soya dan produk berasaskan soya yang didapati mengandungi tahap protein yang tinggi mengandungi tahap lemak politaktepu yang rendah, serat, vitamin dan mineral serta tahap lemak tepu yang rendah.

Suatu kajian yang diterbitkan  dalam jurnal Kolej Nutrisi Amerika mendapati bahawa hanya dengan memakan 1-2 hidangan (15 hingga 30 gram) protein soya setiap hari mempunyai kesan yang besar ke atas faktor-faktor seperti risiko serum lipoprotein untuk penyakit jantung koronari. Untuk membantu mengurangkan tahap kolesterol anda, masukkan kacang soya, tauhu, tepung soya dana pa-apa sahaja yang diperkaya dengan susu soya dan lebihkan pengambilannya dalam diet harian anda.

Teh hijau

green tea

Wajarlah mengapa teh hijau digemari ramai. Ianya kaya dengan antioksida kira-kira lapan hingga 10 kali ganda lebih banyak berbanding dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Teh hijau dapat membantu untuk melawan sel radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel dalam badan. Teh hijau juga mengandungi kandungan tanin yang tinggi mampu merendahkan kolesterol dan mengurangkan risiko kardiovaskular di samping rendah kandungan kafein dan berfungsi untuk mengawal tahap glukosa yang bermanfaat kepada pesakit kencing manis.

Terdapat beberapa sebatian dalam teh hijau yang menghalang penyerapan kolesterol dalam saluran penghadaman dan membantu dalam penyingkiran kolesterol tersebut. Di samping itu, minuman yang menyihatkan ini didapati mampu menghalang pembentukan plak dalam arteri dan mengurangkan risiko mendapat serangan jantung atau strok. Anda boleh mengamalkan minum 3-4 cawan teh hijau samada panas ataupun ditambahkan dengan ais setiap hari. Anda juga boleh mengambil makanan tambahan berasaskan ekstrak teh hijau selepas mendapatkan saranan doktor dan pakar kesihatan anda.

Minyak zaitun

 

khasiat minyak zaitun

Minyak zaitun juga didapati tinggi dalam kandungan lemak monotaktepu yang dapat membantu merendahkan tahap kolesterol LDL ke tahap yang lebih baik. Hal ini juga dapat merendahkan risiko penyakit jantung dan strok. Di samping itu, ia juga kaya dengan vitamin E serta antioksidan yang baik untuk jantung anda dan kesihatan secara keseluruhan. Anda boleh menggunakan 2 sudu besar minyak zaitun asli setiap hari sebagai pengganti minyak yang kurang sihat. Anda juga boleh menggunakan minyak ini untuk menumis sayur-sayuran, membuat sos salad atau dicampurkan bersama kuah untuk dimakan dengan roti.

Buah avokado

khasiat buah avokado

Buah pir yang seakan-akan berbentuk seperti seketul daging berwarna pucat kuning dan hijau telah lama dianggap sebagai buah yang berkhasiat. Mengandungi 35% kandungan kalium yang lebih banyak daripada pisang dan kaya dengan vitamin B, K, C, dan E serta serat, tidak hairanlah mengapa ianya terkenal dengan rasa dan yang lazat dan berkrim.

Avokado adalah sumber yang baik yang mengandungi lemak monotaktepu yang boleh membantu mengurangkan tahap LDL pada seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti. Lemak monotaktepu juga membantu meningkatkan tahap HDL. Avokado juga mengandungi sterol tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri pengurangan tahap kolesterol. Anda boleh mengamalkan makan buah avokado setiap hari. Anda juga boleh menambah keping avokado dalam salad mahupun sandwic atau menjadikannya sebagai sebagai ulam-ulaman.

Bawang putih

bawang putih

Bawang putih adalah satu lagi makanan yang didapati boleh membantu mengurangkan tahap kolesterol yang tinggi. Di samping itu, ia juga mampu menghalang pembekuan darah, mengurangkan tekanan darah dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Menurut kenyataan akhbar daripada Institut Perubatan Integratif, ekstrak bawang putih adalah alternatif yang selamat dan berkesan untuk mengawal tekanan darah farmaseutikal dan menjadi penawar kepada tahap kolesterol yang tinggi untuk ramai orang.

Sekiranya anda mahu mendapatkan kebaikan dan mengambil bawang putih dalam diet harian, anda boleh mulakan dengan memakan 2 hingga 3 ulas bawang putih mentah semasa perut kosong setiap hari. Anda digalakkan untuk menggunakan bawang putih segar dalam kuah salad dan dalam pelbagai jenis masakan. Anda juga boleh mengambil makanan tambahan berasaskan bawang putih selepas mendapatkan pengesahan daripada doktor dan pakar kesihatan yang dipercayai.

Coklat gelap

coklat

Coklat gelap juga berkesan dalam mengurangkan kolesterol yang tidak baik dan meningkatkan tahap kolesterol yang baik dalam darah. Menurut suatu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nutrisi Klinikal Amerika, komponen theobromin dalam coklat gelap dipercayai mampu menaikkan tahap kolesterol HDL yang baik. Tahap antioksidan yang tinggi dan flavonoid dalam coklat gelap didapati berupaya menghalang platlet darah daripada melekat bersama dan melindungi arteri daripada tersumbat. Hal ini seterusnya mampu mengurangkan risiko serangan jantung mahupun strok.

Anda sangat digalakkan untuk memakan 1 atau 2 keping kecil coklat gelap dengan sekurang-kurangnya 60 peratus koko secara teratur. Ianya di samping mempunyai rasa yang sedap mampu mengekalkan kesihatan anda dan tahap kolesterol ke tahap yang lebih sihat. Adalah diharapkan anda dapat mengamalkan makanan-makanan yang mampu mengurangkan tahap kolesterol tersebut agar kesihatan anda lebih terjamin selain menjanjikan kualiti hidup yang lebih sempurna.

Sumber : www.top10homeremedies.com

Leave a Reply

error: Content is protected !!