Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

6 Khasiat Hebat Yang Anda Dapat Jika Makan Ulam Raja

Negara kita kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan dan herba yang tumbuh merata yang sesuai dijadikan sebagai makanan mahu pun untuk tujuan perubatan. Namun begitu, tidak ramai golongan anak muda masa kini yang mengenal tumbuhan-tumbuhan herba atau ulam-ulaman mungkin kerana faktor berhijrah ke kota besar mahu pun kerana kebergantungan kepada makanan segera.

Terdapat banyak tumbuhan berasaskan ulam-ulaman yang masih diminati sebagai makanan sampingan ketika menikmati hidangan yang berasaskan menu kampung. Antaranya adalah seperti pegaga, pucuk kayu manis, ulam raja, paku pakis, daun selom, daun kaduk, petai, jering, daun tenggek burung dan banyak lagi.

Apa yang menarik kali ini adalah perkongsian kami mengenai khasiat ulam raja.

Raja Segala Ulam

Tumbuhan ini berasal dari Amerika Latin tetapi boleh didapati tumbuh secara liar di semua negara Asean. Ulam raja atau pokok intan berayun atau juga dikenali ‘king salad’ dianggap sebagai ‘raja segala ulam’ kerana kandungan kimia (zat) dan khasiatnya yang sangat tinggi. Pokok ini boleh tumbuh hingga mencapai ketinggian 2 meter dan sesuai tumbuh pada ketinggian 200 meter dari paras laut. Ia membiak melalui biji benih yang dihasilkan selepas bunganya matang.

Batang tumbuhan ini berwarna hijau tua dan sedikit keunguan. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas. Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang dan berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau yang agak kuat apabila diramas.

Tumbuhan herba ini mengandungi protein, lemak dan karbohidrat, Laksium dan vitamin A. Bukan itu sahaja, tumbuhan ini mengandungi bahan antioksida yang amat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik.

Ulam raja bukan sahaja dimakan mentah sebagai ulaman tetapi juga sedap jika dicicah dengan sambal mahupun dijadikan urap atau kerabu.

AWAS!!! Tumbuhan Beracun!!!

Tahukah anda bahawa ulam raja mempunyai dua jenis, iaitu ada yang boleh dimakan dan ada juga yang hanya dijadikan hiasan. Kedua-dua tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri fizikal atau rupa yang sama, tetapi yang membezakannya ialah bau dan rasa.

Salah satu di antaranya adalah hanya ditanam sebagai pokok bunga hiasan kerana mempunyai bunga yang cantik dan ada pelbagai warna. Walaupun bentuk daunnya serupa, namun ianya tidak sesuai dijadikan ulam kerana rasanya yang tidak enak sdan tidak berbau.

Satu jenis yang lain pula ialah  kategori herba yang mempunyai bunga-bunga kecil berwarna merah jambu, ungu dan putih. Tumbuhan jenis ini sesuai dijadikan ulaman dan ubat.

Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dan perlu cukup kenal dengan tumbuhan ulam raja ini sebelum memakannya kerana terdapat tumbuhan berbahaya yang hampir menyerupai ulam ini, iaitu rumpai miang Mexico atau ‘partheniumhysterophorus’. Tumbuhan Rumpai Miang Mexico jika disentuh boleh menyebabkan alahan dan keradangan yang teruk pada kulit, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.

6 KHASIAT ULAM RAJA

Ulam raja kaya dengan zat dan pelbagai khasiat. Antara khasiat ulam raja yang anda perolehi jika mengamalkan pengambilannya;

Atasi Anemia Ketika Hamil

Boleh dikatakan hampir kebanyakan ibu hamil mengalami anemia atau kurang darah merah. Kekurangan darah adalah suatu keadaan di mana paras sel darah merah (hemoglobin) ibu kurang daripada 11gm%. Untuk menangani anemia ialah dengan memperbanyakkan pengambilan makanan yang tinggi zat besi. Ulam raja juga kaya dengan kandungan zat besinya. Oleh itu, ibu hamil yang mengalami masalah ini boleh cuba amalkan pengambilan memakan ulam raja. Namun begitu, dapatkan juga nasihat doktor mengenai diet pemakanan anda.

Untuk Kesihatan Ibu Berpantang

Ulam raja kerap dijadikan ulaman ibu berpantang kerana ia membantu menguatkan tulang, memperbaiki peredaran darah dan membersihkan darah. Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Masalah sembelit atau sukar membuang juga kerap dihadapi oleh ibu berpantang. Oleh kerana kandungan serat yang tinggi dalam ulam raja, maka ia membantu memudahkan kelancaran sistem perkumuhan ibu berpantang.

Menguatkan Sistem Imunisasi

Jika anda kerap berasa lesu atau lemah-lemah badan, cuba amalkan memakan ulam raja kerana ulam raja. Ulam raja membantu menguatkan sistem imunisasi badan kerana ia juga mempunyai asid askorbik yang dikenali juga sebagai vitamin C. Zat ini penting dalam membaiki tisu, penyembuhan luka, pertumbuhan tulang dan pembaikan, dan kulit yang sihat. Selain itu, ia membantu melawan jangkitan badan dan bertindak sebagai antioksidan yang mampu melindungi sel-sel daripada kerosakan.

Rahsia Wajah Awet Muda

Tiada siapa yang menolak kulit wajah yang kekal muda dan tegang dan mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa amalan memakan ulam membantu mengekalkan keremajaan kulit. Bagaimana perkara ini berlaku dan apa kaitannya ulam raja dengan awet muda?

Pengambilan ulam raja yang kerap mampu menambahkan kandungan oksigen dalam darah. Apabila oksigen bertambah maka peredaran darah akan menjadi semakin lancar dan secara tidak langsung memberikan keanjalan kepada kulit.

Lepas ni kalau nak kulit cantik, tak payah berhabis duit beli produk mahal. Rajin-rajinlah makan ulam ya!

Merencatkan Kuman dan Bakteria

Kandungan klorofil yang diekstrak dari daun ulam raja mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semula jadi seperti costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine yang dikatakan dapat merencatkan pembiakan kuman dan aktiviti sesetengah bakteria dan fungus seperti Candida albicans dan Bacillus subtilis serta E.Coli.

Merawat Diabetes

Terdapat kajian yang dibuat oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membuktikan bahawa ulam raja mampu merawat penyakit Diabetes Mellitus Type 2. Diabetes jenis ini boleh dirawat secara kaedah tradisional. Oleh itu, ulam raja sangat sesuai digunakan sebagai alternatif kerana mampu mengawal kadar kandungan gula dalam darah.

Sungguhpun ulam raja mendapat julukan ‘raja segala ulam’, namun belum ada kajian yang menunjukkan tumbuhan herba ini dapat merawat kanser. Ulam raja merupakan sumber serat yang amat baik. Kajian makmal juga menunjukkan ulam raja mengandungi antioksidan yang tinggi, antikeradangan, membantu mengawal gula darah, membunuh kuman dan menurunkan tekanan darah. Walau apapun, dalam dunia perubatan, tumbuhan ini hanyalah sebagai alternatif. Jika sakit, kita masih perlu mendapatkan rawatan dan makan ubat di samping pengambilan suplemen dan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

Rujukan: relaksminda || bio-asli || utusan

Cheng SH, Barakatun Nisak MY, Anthony J. Potential medicial benefits of Cosmoscaudatus (Ulam Raja): A scoping review. J Res Med Sci, 2015;20(10):1000-1006

Gambar : Google

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!