Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Antibiotik : Perlu Ke?

Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Namun, tak semua sakit boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik.

Tahukah anda kenapa batuk dan selesema tidak perlukan antibiotik dalam perubatan? Kerana batuk dan selesema kebanyakannya disebabkan oleh ejen pembawakan virus. Jadi, antibiotik hanya diperlukan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh bakteria.

Oleh itu, antibiotik tidak boleh membunuh dan tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru. Mudahnya, penggunaan antibiotik bagi keadaan tersebut adalah tidak berguna malah tiada peranan langsung.

PERLU KE PENGAMBILAN ANTIBIOTIK?

Penggunaan antibiotik telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan pesakit di seluruh dunia, tetapi di Malaysia, permintaan terhadap antibiotik terus meningkat akibat kurangnya maklumat dan kesedaran masyarakat berkenaan penggunaan antibiotik yang betul.

Antibiotik masih dilihat seolah-olah ubat ajaib penyembuh segala penyakit yang digunakan secara berlebihan di negara ini. Lebih malang buat masyarakat Malaysia tanpa disedari, masalah kerintangan antibiotik di negara ini berada di tahap yang membimbangkan akibat kekerapan penggunaan dan penyalahgunaan jenis ubat itu secara meluas.

Keadaan ini berlaku jika antibiotik tidak diambil mengikut arahan, bakteria tidak dapat dimusnahkan sepenuhnya. Bakteria ini akan mengalami mutasi dan mejadi kebal kepada antibiotik tersebut. Bakteria yang kebal akan terus membiak, menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk dan tidak boleh disembuhkan dengan antibiotik tersebut. Penyembuhan memerlukan antibiotik lain yang lebih kuat dan berkesan yang boleh memusnahkan bakteria kebal itu.

Jika keadaan ini berterusan, ia akan menyebabkan jangkitan penyakit sukar diubati lalu meningkatkan risiko penyebaran penyakit kepada orang lain. Statistik menunjukkan akibat penggunaan antibiotik secara berlebihan dan kurang bijak menyebabkan peningkatan kepada kes kerintangan antibiotik di Malaysia.

 

KENAPA PERLU BERHATI-HATI MENGAMBIL ANTIBIOTIK? 

Antibiotik Boleh Menyebabkan Alahan

Alahan boleh jadi sedikit seperti urticaria  iaitu timbul ruam gegata di seluruh badan sehingga ke alahan yang teruk seperti kulit melecur dan sesak nafas.

Antibiotik Mempunyai Kesan Sampingan

Antibiotik boleh menyebabkan kesan sampingan kecil seperti loya, pening, muntah dan cirit birit sehingga ke yang teruk seperti kerosakan buah pinggang, usus dan hati, pekak dan sawan. Steven Johnson Syndrome adalah satu kesan sampingan kepada beberapa jenis antibiotik berasaskan sulfa. Ia menyebabkan keadaan kulit seperti terbakar dan juga menyerang kawasan seperti mulut mata dan lidah. Kesan sampingan ini boleh membawa maut.

Antibiotik Sebagai Bom Nuklear

Kenapa antibiotik diandaikan seperti bom nuklear atau bom jangka? Sekali meledak, kesan letupannya memusnahkan seluruh kawasan. Begitu juga dengan antibiotik. Jika kita mengambil prekripsi yang salah, ia akan membuatkan bakteria jahat kian membiak dan merebak dan akhirnya kita terpaksa mengambil antibiotik yang lebih kuat kesan. Lama-kelamaan sistem kekebalan tubuh tidak lagi mampu melawan penyakit, maka mudaratnya tubuh kita menjadi sarang pelbagai jenis penyakit.

TIPS BIJAK PENGGUNAAN ANTIBIOTIK

Penggunaan antibiotik yang tidak tepat adalah punca utama kepada peningkatan dalam kerintangan antibiotik. Berikut adalah apa yang anda boleh lakukan untuk menggalakkan penggunaan antibiotik yang betul.

  1. Fahami bila antibiotik perlu digunakan.
  2. Tidak perlu ambil antibiotik bagi batuk atau selesema yang disebabkan oleh virus.
  3. Jangan minta antibiotik daripada doktor yang merawat.
  4. Jangan beli antibiotik daripada ahli farmasi tanpa preskripsi.
  5. Ambil antibiotik hanya apabila doktor mengesahkan anda memerlukannya.
  6. Ikut arahan dan patuh kepada arahan pengambilan ubat antibiotik yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi.
  7. Kenapa kita perlu habiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor? Ini bagi memastikan keberkesanannya dan mengelakkan daripada kerintangan antibiotik berlaku.
  8. Jangan merawat diri sendiri dengan menggunakan lebihan antibiotik di rumah.

Fenomena terlalu fanatik dengan ‘kehebatan’ antibiotik ibarat penyakit dalam fikiran masayarakat kita hari ini kerana beranggapan bahawa rawatan antibiotik berkesan untuk merawat semua penyakit. Sikap tidak patuh dalam pengambilan antibiotik juga merupakan penyumbang utama kepada masalah kerintangan antibiotik.

Akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab inilah, keberkesanan antibiotik untuk mengubati penyakit atau jangkitan semakin berkurangan kerana jangkitan yang disebabkan oleh bakteria sering kali gagal bertindak balas terhadap rawatan standard yang diberikan. Oleh itu, berhati-hatilah menggunakan antibiotik. Ambil hanya dalam keadaan tertentu sahaja.

 

Rujukan: malaysiakamu || ellecope || myhealth

Raudhatun Sa’adiah Ithnin, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor, Ruangan Sihat, Metro Ahad. 16 Oktober 2016.

Gambar : Sumber Google

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!