Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Sakit Belakang? Ini 15 Tips Mengurangkan Sakit Belakang dan Langkah Pencegahannya.

Sakit belakang biasanya berlaku apabila anda cuba untuk mendapatkan badan untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan. Biasanya ia dikaitkan dengan masalah terseliuh pinggang.

Mengikut statistik, hampir 70 peratus manusia dewasa akan mengalami sakit belakang pada satu-satu masa kehidupan mereka. Lebih 50 peratus daripada jumlah ini akan sembuh dalam masa seminggu selepas mendapatkan rawatan dan 90 peratus lagi sembuh antara 1 hingga 3 bulan selepas menjalani rawatan. Hanya sebahagian sahaja yang mengalami masalah slipped disc.

Perlu difahami bahawa sakit belakang dan slipped disc adalah perkara yang berbeza. Sekiranya anda mengalami sakit pinggang, jangan biarkan ia melarat kerana keadaan yang serius akan disertai dengan rasa menyucuk ke bawah kaki, kegagalan mengawal pundi kencing atau demam. Perkara ini secara tidak langsung pasti akan mengganggu tahap kesihatan dan aktiviti harian anda.

SEBAB-SEBAB SAKIT BELAKANG

Bagaimana sakit belakang boleh berlaku? Ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:

  • Bentuk badan yang lemah – disebabkan oleh otot abdomen dan belakang lemah, postur yang lemah, terlalu lama duduk, berdiri atau membongkok dan kurang bersenam.
  • Kecederaan – hasil daripada pergerakan secara tiba-tiba atau terlalu kuat, atau cara yang salah mengangkat barang berat.
  • Kekejangan – disebabkan oleh stres atau tekanan.
  • Penyakit – Terdapat penyakit tulang, sendi atau penyakit-penyakit lain seperti arthritis atau ketumbuhan.
  • Berat badan – Berat badan yang berlebihan atau kegemukan akan memberikan bebanan yang lebih kepada tulang belakang.
  • Pemakaian kasut bertumit – Pemakaian kasut bertumit tinggi akan menyebabkan postur tubuh menolak pinggang kehadapan dan meletakkan bebanan berlebihan ke atas bahagian bawah belakang.
  • Ibu hamil – Usia kandungan yang semakin besar dan berat akan membuatkan si ibu terpaksa berada pada pelbagai postur bagi menyelaraskan keselesaan.
  • PMS – Bagi wanita, sakit belakang terjadi ketika Premenstrual Syndrome (PMS), iaitu sebelum atau semasa haid.

Terdapat juga beberapa masalah lain yang boleh menyebabkan sakit belakang selain daripada prolapsed disc. Antara masalah lain yang boleh menyebabkan sakit belakang ialah:

  • Kerosakan sendi facet pada tulang belakang (Facet arthropathy)
  • Kerosakan atau kekoyakkan disk (Discogenic back pain)
  • Ketegangan otot lumbar (Lumbar muscle spasm)
  • Kanser tulang
  • Jangkitan kuman pada tulang belakang (Pyogenic or Tuberculous infection)
  • Perubahan pada struktur tulang akibat penuaan atau kecederaan (Lumbar spondylosis)
  • Tulang rapuh (Osteoporosis)
  • Jangkitan pada sistem saluran kencing (Urinary Tract Infection)
  • Batu karang pada ginjal atau pundi hempedu (Renal stone or gall stone)

Anda perlu berjumpa doktor bagi memastikan punca sebenar anda mengalami sakit belakang ini. Doktor akan bertanya beberapa soalan serta melakukan pemeriksaan yang khusus bagi memastikan diagnosis dan rawatan yang bersesuaian.

TIPS MENGURANGKAN SAKIT DAN PENCEGAHAN

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul dan melakukan pergerakan atau aktiviti luar biasa atau terlalu lama duduk. Antara tips atau petua yang dapat mengelakkan atau mengurangkan rasa sakit belakang ialah:

  1. Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.
  2. Amalkan postur badan yang baik. Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
  3. Jika berat anda meningkat, berusahalah untuk mengurangkannya bagi meringankan beban kepada tulang belakang.
  4. Lakukan lebih senaman yang boleh meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Ini termasuk senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates.
  5. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.
  6. Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul.
  7. Senaman ‘tekan tubi’ juga boleh menguatkan otot bahu dan pinggang. Jika tidak mampu melakukannya di atas lantai, buat di dinding.
  8. Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan dan mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.
  9. Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
  10. Elakkan daripada memakai kasut bertumit tinggi.
  11. Amalkan gaya hidup sihat. Kekalkan berat badan seimbang dan berhenti merokok kerana kegemukan dan rokok boleh meningkatkan peluang untuk mengalami sakit belakang.
  12. Tuam belakang anda dengan bahan panas seperti botol air panas, tuala panas, dedahan kepada sinaran lampu infra red, untuk kira-kira 15 minit sekali atau dua kali sehari.
  13. Ambil ubat tahan sakit yang sederhana kekuatannya. Urut bahagian yang sakit dengan minyak, krim atau salap yang dapat menahan sakit atau mencegah bengkak.
  14. Rujuk doktor apabila sakit tidak hilang atau menjadi lebih teruk, kaki anda menunjukkan tanda-tanda lemah, atau anda mengalami masalah mengawal kencing.
  15. Bagi wanita hamil, dapatkan nasihat dan rujukan klinikal. Pakai alat penyokong perut atau seluar getah untuk ibu-ibu hamil bagi keselesaan dan keseimbangan postur tubuh.

PERINGATAN UNTUK ANAK-ANAK

Kita sebagai ibu bapa yang prihatin, ingatkan atau beri nasihat sebagai salah satu bentuk bantuan dalam membantu anak-anak supaya tidak sakit belakang. Beri peringatan sekiranya terdapat beberapa jenis postur yang salah seperti:

  • Penggunaan beg galas yang tidak betul boleh mengakibatkan pelbagai masalah belakang dalam kalangan kanak-kanak. Pastikan berat beg galas anak anda tidak melebihi 10 peratus daripada keseluruhan berat badannya.
  • Kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa di hadapan komputer, menonton televisyen dan bermain permainan video lazimnya memiliki kedudukan postur yang lemah.
  • Sekiranya anak anda membongkok ketika menggunakan komputer, penggunaan meja dan kerusi yang betul boleh memperbetulkan kedudukan posturnya. Kaki mereka sepatutnya menyentuh lantai. Paling tidak, letakkan bantal di belakang tubuh atas kerusi untuk memberi sokongan yang diperlukan.
  • Jika mereka menggunakan kerusi orang dewasa, pastikan bangku kecil diletakkan agar terdapat sokongan pada kakinya.
  • Jadikan teladan yang baik. Tunjukkan kepada anak apakah itu kedudukan yang baik dan buruk. Berikan contoh jika perlu. Berikan komen apabila kedudukan postur anak tidak betul.

  • Berikan peringatan. Jika anak membongkok ketika melakukan kerja, cuba berikan peringatan kepadanya agar berdiri tegak dan naikkan bahu bagi membetulkan kedudukan postur. Luangkan masa mendidik anak-anak bagaimana duduk pada kedudukan postur yang betul.
  • Bagi membetulkan kedudukan postur, pastikan pelvis didepankan dan bahagian dada dinaikkan. Tindakan ini membantu anak belajar bagaimana mengawal kedudukan postur secara automatik.

 

Rujukan: Dr. Ahmad Mahyuddin || nhs 
Mark D. Miller. Overview of Orthopedics, 5th edition, p478-481; Paul A. Nanaszkiewicz, Postgraduate Orthopaedics, p265-268.

Puan Rusnani Omar, Penolong Pendaftar Unit keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Perlis.

Gambar : Google

Leave a Reply

error: Content is protected !!