Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Awas, Jangan Lakukan Perkara-perkara Ini Semasa Perut Kosong

Jangan tinggalkan (skip) waktu makan, nanti kena gastrik

Biasa dengarkan ayat macam ni, terutamanya pelajar asrama. Apa yang dilakukan sebelum makan boleh mempengaruhi kesihatan dan kehidupan kita. Jadi, jangan lakukan perkara-perkara ini semasa perut kosong.

  1. Mengambil pil anti-radang

Ada individu yang perlu mengambil pil anti-radang untuk masalah kesihatan tertentu. Namun ubat seperti aspirin, nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan paracetamol tidak boleh diambil semasa perut kosong. Mengapa? Kerana ia mengurangkan keberkesanannya dan boleh menyebabkan masalah lebih serius seperti pendarahan gastrik.

      2. Minum kopi

Tahu tak, minum kopi semasa perut kosong boleh merangsang penghasilan asid. Kesannya, anda mungkin mengalami pedih ulu hati atau masalah berkaitan pencernaan. Jika tidak bersarapan dan hanya minum secawan kopi, kita mungkin kekurangan serotonin (neurotransmitter berkaitan rasa gembira, tenang dan berkeyakinan). Selain itu, kita juga cenderung untuk menjadi muram sepanjang hari.

      3. Mengunyah gula-gula getah

Jangan kunyah gula-gula getah lebih dari 10 minit terutama dalam keadaan perut kosong. Asid pencernaan yang dihasilkan semasa mengunyah gula-gula getah boleh mencederakan lapisan usus. Ia juga boleh menyebabkan gastritis, jadi lebih baik elakkannya.

      4. Tidur

Bila rasa mengantuk dan lapar datang serentak, ramai yang memilih untuk tidur. Tapi lenakah kalau tidur dalam keadaan lapar? Paras glukosa yang rendah membuatkan kita sukar tidur dan cepat terjaga. Selain itu, kita cenderung untuk makan lebih banyak selepas bangun tidur keesokannya.

      5. Senaman secara giat/ lasak

Elakkan bersenam dengan giat atau lasak semasa perut kosong. Ada pendapat ianya membakar kalori namun keadaan ini tak membantu kehilangan lemak. Apabila bersenam semasa lapar, kita semakin cepat letih kerana badan kekurangan tenaga. Sebaiknya, makan sedikit untuk mengalas perut dan mulakan dengan berjalan kaki selama 10 minit. Kemudian barulah kita teruskan senaman lebih lasak.

      6. Membeli belah

Membeli belah semasa perut kosong boleh mempengaruhi corak berbelanja. Rasa lapar membuatkan kita cenderung membeli makanan lebih dari yang diperlukan. Malah jangan terkejut kalau kita juga mungkin berbelanja lebih untuk barangan selain makanan. Agak bahaya untuk poket kan, jadi makanlah sebelum mula membeli belah dan rancang perbelanjaan sebaiknya.

      7. Minum jus sitrus

Buah-buahan sitrus seperti oren mempunyai kandungan asid dan serat yang penting. Namun ianya boleh menyebabkan radang pada perut yang kosong serta berbahaya terutama kepada pesakit gastritis. Jika masih mahu jus sitrus, anda boleh mencairkannya dengan air kosong untuk mendapatkan kebaikannya.

      8. Pertengkaran/ pergaduhan

Perut kosong namun masih berupaya untuk bertengkar? Ada kajian yang menyatakan rasa lapar mampu mengganggu emosi dan rasional kita. Kekurangan tenaga untuk mengawal diri boleh mencetuskan pertengkaran atau pergaduhan. Sekurang-kurangnya minum minuman suam sebelum mulakan perbincangan.

 

Maka, nasihat untuk tak membiarkan perut kosong ternyata bukan nasihat kosong. Tak mustahil perkara yang nampak ringkas boleh beri kesan besar kepada kita. Ia bukan sahaja berkaitan aspek kesihatan malah aspek kehidupan yang lain. Jadi, beringat-ingatlah sebelum kena, ya.

Sumber: Bright Side

 

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!