Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Bagaimana Senggugut Berlaku?

Senggugut atau “dismenorea” merujuk kepada kesakitan yang dialami wanita ketika permulaan haid. Kebiasaannya wanita yang datang haid mengalami kesakitan yang lebih teruk semasa dua hari pertama. Tetapi bagi yang bernasib baik, mereka mungkin mengalami kesakitan yang agak sederhana atau sedikit sahaja sepanjang tempoh kitaran haid tersebut.

Jika masalah ini berlaku kepada golongan gadis remaja, ia mungkin boleh mengganggu persekolahan dan kehidupan seharian remaja terbabit sekiranya kesakitan yang dialami itu teruk dan berpanjangan. Kitaran masalah senggugut yang dialami oleh gadis remaja ini dikenali sebagai dismenorea primer iaitu senggugut yang sering berlaku kepada gadis remaja yang baharu (dua hingga tiga tahun) mengalami kitaran haid.

senggugutKesakitan yang dialami oleh gadis remaja ini berlaku disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat ketida waktu datang haid. Keadaan ini berlaku adalah untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput dinding rahim (selaput endometrium).

Proses pengeluaran darah ini sememangnya amat menyakitkan kerana pada usia tersebut, saluran pangkal rahim yang dimiliki masih sempit dan ini menyebabkan ketulan darah tersebut agak sukar untuk dikeluarkan.

Hakikatnya, semasa seseorang itu didatangi haid, berlaku penguncupan dinding rahim yang begitu kuat disebabkan oleh sejenis hormon yang dikenali sebagai prostaglandin. Hormon ini ialah sejenis kumpulan molekul lipid yang berasal daripada asid lemak dan peranannya sangat penting dalam badan manusia.

Setiap prostaglandin ini mengandungi 20 atom karbon yang menjadi pengantara serta memberikan banyak kesan terhadap psikologi. Tahap kesakitan yang meningkat menunjukkan hormon ini dihasilkan secara berlebihan menyebabkan terjadinya senggugut. Prostaglandin yang berlebihan akan mengakibatkan rasa mual, cirit-birit, muntah serta sakit kepala. Lazimnya, kesakitan akan reda sebaik sahaja dua atau tiga hari kemudiannya.

Faktor lain seperti diet dan suasana persekitaran juga memainkan peranan untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Diet yang berlemak, rendah protein dan rendah serat boleh meninggikan risiko untuk mengalami senggugut.

Dalam beberapa kes tertentu, ubat-ubatan yang mengandungi hormon boleh membantu. Penulis mencadangkan agar remaja yang mengalami tindak balas seperti ini supaya melakukan senaman, mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan mengurangkan stres atau tekanan ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Secara tidak langsung, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan ketika mengalami kitaran haid. Lihat Tips Atasi Senggugut

Rujukan : Utusan Online

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!