Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Bakal Pengantin Mesti Baca! Mengapa Perlu Ambil Asid Folik Sebelum dan Selepas Hamil?

Apa Itu Asid Folik? Sebenarnya asid folik adalah salah satu daripada golongan vitamin B yang juga dikenali sebagai folat. Ia larut di dalam air dan jika diambil, ia dikeluarkan melalui air kencing. Juga mempunyai nama saintifik lain seperti Vitamin B9, Vitamin Bc, Vitamin M, Folasin dan Pteroyl-L-Glutamat. Wanita mengambil asid folik sebagai supplement untuk mengelak bayi dari terkena kecacatan tiub neural iaitu NTDs (Neural Tube Defects) semasa mengandung. Ia juga digunakan untuk merawat pesakit anemia yang sebenarnya berpunca daripada kekurangan asid folik ini. Jumlah asid folik yang perlu diambil adalah disyorkan sebanyak 400mg setiap hari melalui makanan atau supplement diet anda. Ambilan supplement yang mengandungi asid folik untuk jangka panjang dikatakan mampu mengurangkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular. Anda boleh mengambilnya melalui mulut atau suntikan.

Khasiat Asid Folik

Untuk pengetahuan anda, asid folik sangat penting untuk tubuh menghasilkan DNA, RNA dan memetabolismekan asid amino yang sangat diperlukan untuk pembahagian sel. Tubuh manusia tak mampu menghasilkan asid folik. Jadi, vitamin penting ini diperoleh dari diet dan pemakanan seharian. Apa kaitannya dengan ibu mengandung? Ia sebenarnya sangat membantu mencegah kecacatan tiub neural (NTDs), iaitu kecacatan saraf tunjang dan otak yang serius semasa kelahiran. Tiub neural adalah sebahagian dari janin di mana saraf tunjang dan otak bayi mula membentuk. Di Amerika, NTDs menjejaskan kira-kira 3 000 kehamilan setahun.

NTDs terjadi sejak peringkat yang paling awal lagi, ketika kebanyakan wanita belum tahu pun mereka sedang hamil. Itulah sebabnya anda perlu ambil asid folik seawal sebelum anda mula cuba untuk hamil. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan bahawa wanita yang ambil asid folik mengikut dos yang disyorkan bermula sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil dan semasa 3 bulan pertama kehamilan mampu mengurangkan risiko bayi mereka terkena NTDs sehingga 70%. Ada juga kajian yang mendapati asid folik turut membantu melindungi bayi dari beberapa penyakit dan kecacatan lain seperti bibir merekah, lelangit merekah, dan sesetengah jenis kecacatan jantung. Ia juga dapat mengurangkan risiko preeclampsia, sejenis gangguan tekanan darah yang serius yang telah menyerang kira-kira 5% ibu mengandung.

Apa lagi fungsi asid folik untuk kita? Tubuh juga memerlukan asid folik untuk menghasilkan sel darah merah yang normal dan mengelakkan anemia. Pengambilan asid folik yang mencukupi adalah penting untuk pertumbuhan sel plasenta yang lancar dan pantas serta pertumbuhan bayi itu sendiri.

Berapa Banyak Asid Folik Yang Anda Perlukan?

Bagi orang awam dan wanita yang tidak bercadang untuk mengandung, anda disyorkan untuk mengambil sebanyak 400mg asid folik setiap hari. Ibu mengandung pula dinasihatkan  mengambil sekurang-kurangnya 400mg sebelum hamil dan dicadangkan untuk meningkatkan pengambilan kepada 600mg setelah disahkan hamil. Semak label supplement anda untuk pastikan dos anda mencukupi. Jika tidak, anda boleh ambil asid folik secara berasingan. Tapi ingat, jangan ambil lebih dari 1 multivitamin dan jangan lebih dari 1 000mg dalam sehari kecuali jika doktor anda yang mengesyorkan sedemikian. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi jika anda seorang vegetarian dan tidak memakai produk berasaskan haiwan. Vegetarian berisiko menghadapi kekurangan Vitamin B12 dan terlebih ambil asid folik akan menyebabkan penyakit anda sukar didiagnosis.

Bagi wanita yang mengalami obesiti pula, risiko bayi terkena NTDs adalah lebih tinggi. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, berjumpalah dengan doktor atau pakar kesihatan anda sebelum cuba untuk hamil kerana anda mungkin dinasihatkan untuk ambil lebih dari 400mg asid folik sehari. Anda yang pernah melahirkan bayi yang menghidap NTDs sebelumnya pula dinasihatkan untuk ambil 4 000mg asid folik sehari. Pastikan pembekal supplement dan pakar kesihatan anda mempunyai rekod sejarah anda dan berjumpalah beberapa kali sebelum hamil lagi. Peratusan untuk anda mendapat bayi yang juga menghidap NTDs adalah sebanyak 3% hingga 5%.

Ibu yang mengandungkan bayi kembar juga memerlukan lebih asid folik dan disyorkan untuk mengambilnya sebanyak 1 000mg sehari. Ada sesetengah individu yang membawa enzim genetik yang dikenali mutasi pengurangan methylenetetrahidrofolat (MTHFR), di mana pembawa enzim ini mengalami kesukaran mencerna asid folik. Jika anda mempunyai genetik sebegini, berbincanglah dengan doktor anda mengenai rancangan untuk hamil dan beliau akan mengesyorkan dos yang bersesuaian.

Apa pun, tidak kira anda menghidap sesuatu penyakit atau tidak, anda perlu merujuk doktor atau pakar kesihatan dan berbincanglah mengenai perancangan hamil dan minta pandangannya mengenai jumlah dos yang disyorkan serta supplement yang anda bercadang untuk ambil.

Makanan Yang Kaya Dengan Asid Folik

Di Amerika, pengeluar makanan diperlukan untuk menambah asid folik dalam produk bijirin mereka seperti bijirin sarapan pagi, roti, pasta, dan nasi. Terdapat sesetengah bijirin sarapan yang benar-benar berkhasiat sehingga mencapai 100% dos asid folik yang diperlukan tubuh setiap hari. Lihatlah pada label nutrisi sesuatu produk yang anda beli, jika terdapat nama asid folik atau folat atau nama-nama saintifik lain bagi vitamin ini terdapat pada bungkusan, itu bermakna makanan tersebut diperkaya dengan asid folik. Makanan sebegini membantu wanita yang tidak mampu membeli supplement, atau wanita yang tidak bercadang untuk mengandung dan orang-orang awam bagi memenuhi keperluan asid folik dalam tubuh setiap hari. Contoh makanan semulajadi yang kaya dengan asid folik adalah seperti;

  • Kacang Merah, Kacang Pis
  • Kekacang (Badam, Hazel, Kuaci dll)
  • Avocado
  • Sayur-Sayuran yang berwarna hijau gelap seperti Brokoli, Bayam, Kobis dan Lobak, Bendi, Tauge dan Asparagus
  • Buah-Buahan Sitrus dan Jus

Walaubagaimanapun, adalah lebih baik jika anda cuba usaha untuk dapatkan supplement yang baik. Sebab makanan sebegini mungkin kehilangan khasiatnya jika disimpan lama dan setelah dimasak. Jadi, anggaplah makanan yang kaya dengan asid folik ini hanya sebagai pelengkap kepada supplement anda.

Di Mana Nak Dapatkan Asid Folik Ni?

Anda tak perlu risau kerana asid folik boleh didapati dengan mudah dari farmasi-farmasi sekitar anda atau anda juga boleh mencarinya secara online. Farmasi seperti Guardian dan Watsons turut membekalkan supplement yang mengandungi asid folik dan anda juga boleh dapatkan pil asid folik secara berasingan. Brand terkenal seperti Blackmores dan Appeton turut menghasilkan asid folik mereka sendiri. Jika anda menghadapi kesukaran untuk mencarinya di farmasi, anda boleh cuba membelinya secara online dari Lazada.com.my, Watsons.com.my, Lelong.com.my, Shaklee Malaysia, Constant.com.my dan beberapa perniagaan online yang lain. Macam mana pun, adalah lebih baik jika anda bertanya kepada doktor, pakar kesihatan dan rakan-rakan yang pernah mendapatkannya online untuk mengelakkan penipuan.

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!