Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Daun Bayam Pengganti Tisu Jantung Manusia, Mitos Atau Fakta?

Bayam sebagai sayuran yang membekalkan sumber zat besi, itu perkara biasa kan. Namun pernahkah anda dengar daun bayam menjadi pengganti tisu jantung manusia? Adakah perkara ni mitos atau fakta?

Umum mengetahui sayur bayam antara sayuran popular, apa lagi ditampilkan dalam siri kartun Popeye. Popeye digambarkan watak hero yang gagah setelah memakan bayam dan membantu mereka yang dalam kesusahan. Selain menerapkan sifat positif, ini secara tak langsung mempengaruhi kanak-kanak supaya minat memakan sayuran seperti bayam.

Daun Bayam Pengganti Tisu Jantung Manusia

Ya atau Tidak?

Kedengaran agak mustahil namun dunia sains ternyata melangkah setapak lagi ke hadapan. Kajian yang diterbitkan oleh jurnal Biomaterials membawa kemajuan dalam membina sistem pembuluh darah (vascular system) untuk bidang kejuruteraan bioperubatan. Kajian menggunakan daun bayam bagi menggantikan tisu jantung manusia dilakukan sebagai usaha mengatasi permintaan yang tinggi serta pemulihan organ yang rosak.

Menurut penulis bersama kajian itu, Joshua Gershlak yang juga graduan Institut Politeknik Worcester (WPI) faktor yang menghadkan kajian ini adalah kekurangan jaringan pembuluh. Ciri penting ini ada pada daun bayam yang mempunyai jaringan urat daun yang halus dan mampu menghantar air melaluinya.

Bagi mendapat gambaran model jantung mini, larutan natrium klorit dititiskan pada daun bayam dan dibiarkan hingga warna daun itu luntur. Hasil yang diingini adalah daun lutsinar ditunjukkan melalui selulosa yang tinggal (sejenis unit glukosa pada dinding sel tumbuhan).

Hari 0: Daun bayam dititiskan dengan larutan natrium klorit

Hari 1: Daun mula menunjukkan perubahan warna

Hari 5: Warna hijau daun semakin luntur

Hari 7: Hasil akhir, daun menjadi lutsinar dan urat kelihatan (model gambaran jantung)

Setelah daun bayam menjadi jernih dan urat daun jelas kelihatan, penyelidik menyuntik cecair berwarna merah mewakili sel darah manusia. Urat daun bayam yang diubahsuai itu perlu mengalirkan darah dan oksigen agar mampu berfungsi seperti salur darah sebenar pada jantung manusia. Keputusan yang diperoleh menunjukkan perkembangan positif dan memberi harapan untuk pertumbuhan semula tisu jantung yang baru.

Penemuan baru ini ternyata memberi harapan yang positif kepada penyelidik. Namun, masih banyak kajian perlu dilakukan dalam kejuruteraan tisu tumbuhan bagi mengatasi masalah yang mungkin akan timbul. Ini penting agar harapan menjadikan daun bayam sebagai pengganti tisu jantung manusia di masa hadapan akan menjadi realiti.

Sumber: National Geographic

 

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!