Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Gagal Dalam Bercinta? Tips Ini Mungkin Berguna!

Anda pastinya bersetuju bahawa putus cinta dengan orang yang disayangi adalah sangat menyakitkan, malah sesiapa sahaja yang bercinta pasti pernah mengalaminya. Terdapat segelintir individu yang merasakan segalanya sudah berakhir baginya dan tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Individu tersebut juga sanggup untuk melakukan sesuatu yang tidak masuk akal seperti membiarkan diri hanyut dengan perasaan sedih yang tiada gunanya dan ada juga yang nekad membuat keputusan untuk membunuh diri.

Putus cinta dengan orang yang anda sayangi tidak bermakna segala rutin harian tidak dapat dilakukan seperti biasa. Anda haruslah tidak terlalu melayani perasaan sehinggakan ianya terus menghantui diri di samping ianya turut mendatangkan stress yang terlalu berat dan tidak mampu anda hadapi. Anda hanya perlukan sedikit ruang dan waktu untuk menghibur diri dan cuba untuk melupakan kesedihan yang dialami secara perlahan-lahan.

Berikut ialah beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk bangkit setelah gagal dalam bercinta.

gagal bercinta 2

Cubalah lihat kembali diri anda

Setiap orang pastinya tidak mahu dirinya mengalami putus cinta. Hubungan yang telah dibina bersama orang yang disayangi dengan lamanya sudah tentu diinginkan untuk ianya berakhir dengan indah dan segala yang telah dirancangkan berdua pastinya ingin terlaksana. Meskipun hati  dan perasaan anda sangat sedih, ianya bukan bermakna perkara tersebut boleh dijadikan alasan untuk anda hanyut dan tenggelam dengan perasaan kesedihan. Bangkitlah! Semakin lama anda melayani perasaan sedih tersebut, semakin mudah masalah yang lain akan timbul dan menyusahkan diri anda.

Lihatlah orang di sekeliling anda

Ketika anda sedih, orang di sekeliling anda pastinya mengambil berat dan turut berasa sedih akan anda. Mereka akan cuba untuk membantu dan memberikan sokongan kepada anda. Meskipun raut wajah mereka terlihat tenang sebenarnya perasaan mereka juga sedih melihat keadaan anda seperti itu. Adakah anda sanggup untuk membiarkan orang yang berada di sekeliling terutama yang menyayangi anda seperti ibu bapa dan sahabat mengalami perasaan sedih seperti yang kamu sedang alami?

Berusaha menerima keadaan

Perkara yang didapati adalah sangat sukar untuk dilakukan ialah bangkit dan berusaha untuk menerima keadaan. Anda pastinya akan berfikir atau mencari jalan untuk membuatkan orang yang dicintai kembali kepada anda. Anda haruslah tidak patut berbuat demikian kerana ianya dilihat seperti anda tidak mampu untuk menerima keadaan dan membuatkan anda lebih tertekan.

Lakukan lebih banyak perkara yang positif

Jika perasaan sedih dan tertekan yang anda alami semakin surut, sudah tiba masanya untuk anda melakukan lebih banyak perkara yang positif. Anda juga boleh melakukan hobi anda, bermain atau bersukan ataupun keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan. Carilah perkara yang mudah untuk dilakukan bukannya perkara yang lebih mendatangkan kesusahan kepada anda. Melalui perkara-perkara positif yang anda lakukan, lebih banyak waktu dapat diisikan dengan perkara yang berfaedah berbanding daripada duduk bersendirian dengan melayani perasaan sedih anda.

Jauhi pemikiran yang negatif

Anda mungkin masih memendam perasaan benci terhadap pasangan anda, lebih-lebih lagi jika anda putus dengan perkara yang menyakitkan. Banyak perkara negatif tentang bekas pasangan mungkin masih terbayang dalam fikiran anda. Pemikiran negatif tersebut perlulah anda jauhi kerana ianya akan meracuni anda kembali di samping mendatangkan lebih banyak keburukan. Hilangkanlah pemikiran negatif tersebut, jadikanlah ianya pemikiran yang lebih positif. Daripada anda menyangkakan anda putus dengan pasangan disebabkan olehnya, fikirlah daripada sudut yang berbeza seperti putus cinta kerana anda tidak layak untuknya dan masih ada seseorang yang menyayangi dan menunggu anda.

Berfikirlah dengan baik

Putus cinta bukan bermakna pengakhiran bagi segala-galanya buat anda. Hubungan yang berakhir itu telah menjadi suatu proses pendewasaan seseorang untuk menjadi  manusia. Pengalaman pahit seperti ini akan membuatkan anda lebih tegas, bijaksana dalam menilai seseorang dan turut menjadikan anda lebih dewasa secara mental. Ianya juga memberikan suatu pengalaman dan pengajaran kepada anda untuk memulakan suatu hubungan dengan pasangan yang baru. Hal ini akan membuat kamu lebih bijaksana dan lebih dewasa. Anda haruslah berpegang kepada keyakinan bahawa masih ada orang di luar sana yang sedang menanti anda, iaitu orang yang lebih baik daripada bekas pasangan anda.

Belajar dari kesalahan dan sentiasa mengamalkan sikap memaafkan

Jika anda merasakan anda melakukan kesilapan dalam perhubungan yang lepas, tiba masanya untuk anda belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan. Fikirkan semula dan nilaikan kembali diri anda. Anda boleh mengadakan pertemuan semula dengan bekas pasangan anda dan ceritakan kesalahan anda kepadanya sekiranya merasakan telah melakukan kesilapan semasa perhubungan bersamanya. Apa yang penting ialah anda telah melakukan perkara yang betul dan bersikap jujur. Anda dan pasangan anda masih ada perasaan kasih sayang walaupun perhubungan anda telah putus. Sekiranya anda merasakan hubungan anda masih boleh dibina kembali, teruskan jika yakin ianya yang terbaik untuk anda berdua.

Minta pertolongan atau motivasi daripada orang yang anda percayai

Carilah orang yang anda percayai seperti ibu bapa mahupun kawan rapat. Luah dan ceritakan segalanya kepada mereka supaya perasaan sedih atau marah yang anda pendam hilang. Mintalah bantuan motivasi agar anda dapat pulihkan semangat dan meneruskan rutin harian seperti biasa. Anda haruslah yakin bahawa bukan anda seorang sahaja yang pernah putus cinta.

Jangan putus asa

Semua yang berlaku hanyalah dugaan dan cabaran dalam kehidupan seharian. Postifkan diri anda. Anggaplah putus cinta itu suatu dugaan dan asam garam dalam kehidupan. Janganlah anda terlalu melayani perasaan sehinggakan turut menyusahkan orang lain di samping mengurangkan produktiviti anda. Lakukanlah sesuatu untuk sibukkan diri anda ataupun anda boleh bercuti untuk melupakan seketika masalah hubungan anda. Anda haruslah yakin bahawa belum tiba masanya lagi untuk anda berputus asa dalam hubungan bersama pasangan anda.

Yakinlah bahawa masih ada seseorang yang lebih baik

Jika pasangan anda memang tidak ditakdirkan untuk anda, ianya bererti bahawa Tuhan telah merancang dan menentukan seseorang yang lebih baik untuk anda. Hanya masa dan usaha sahaja yang menjadi penghalang kepada anda. Mengapakah anda masih memikirkan bekas pasangan anda sedangkan dia juga akan menemui orang yang sesuai dengannya? Yakinlah bahawa masih ramai orang yang lebih baik daripada bekas pasangan anda. Lebih baik untuk anda putus ditengah jalan daripada merasakan penyesalan dikemudian hari.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Teruskan berdoa dan berusaha untuk mencari pasangan hidup yang lebih baik, iaitu orang yang lebih menyayangi anda daripada segala-galanya.Diharapkan anda dapat memuhasabahkan diri dan memperbaiki kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda dan terus berusaha untuk menjadi seseorang lebih baik.

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!