Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Gelatin Dalam Ubat – Halal atau Haram?

Ubat Anda Mengandungi Gelatin?

Gelatin adalah bahan asas yang sering digunakan dalam proses penghasilan makanan, produk kecantikan dan kesihatan. Ia telah digunakan secara meluas dalam industri perubatan dalam bentuk kapsul ubat atau kapsul lembut (softgel) seperti yang terdapat pada kapsul minyak ikan dan seumpamanya.

Manakala dalam industri makanan pula Gelatin digunakan dalam penyediaan gula-gula, coklat, yogurt, keju, mentega, aiskrim, makanan pencuci mulut segera seperti agar-agar dan pudding, dan gula-gula getah.

Adakah Gelatin Halal?

Isu yang sering menghantui pengguna Muslim di negara ini adalah berkaitan kandungan yang di gunakan dalam penghasilan ubat dan makanan yang mengandungi Gelatin. Kebanyakan pengeluar cuba berselindung dengan tidak menyatakan dengan jelas kandungan yang digunakan dalam penghasilan ubat tersebut. Adakah ianya Halal?

Penghasilan Gelatin

Gelatin dihasilkan dari proses pengasingan kolagen yang terdapat pada kulit, tulang dan tendon haiwan. Selain itu gelatin juga boleh di extrak dari beberapa jenis tumbuhan akuatik seperti rumpai laut atau alga merah.

Walau pun begitu banyak pengilang yang menggunakan gelatin daripada haiwan seperti babi (porcine) kerana aspek kos yang lebih murah berbanding gelatin daripada haiwan seperti lembu (bovine). Manakala gelatin daripada tumbuh-tumbuhan pula dijual pada harga yang sangat mahal, ini kerana proses penghasilan gelatin dari tumbuhan agak sukar dan memerlukan teknologi yang canggih.

Mungkin ada yang bersikap Tak Kisah dalam aspek ini, lebih-lebih lagi jika diketahui gelatin yang digunakan adalah daripada sumber haiwan yang halal seperti lembu (bovine). Perlu diingat, walaupun gelatin diextrak daripada sumber haiwan yang halal, tetapi adakah proses yang digunakan untuk menghasilkan Gelatin tersebut dilakukan dengan cara yang halal? Adakah lembu tu disembelih mengikut syarak sebelum proses menghasilkan Gelatin dilakukan?

proses menghasilkan gelatin

Proses Penghasilan Gelatin Haiwan

 

Setakat ini, hanya ubat-ubatan yang dihasilkan menggunakan tumbuh-tumbuhan sahaja yang boleh diyakini halal.

Memang benar, ubat-ubatan tersebut telah mendapat kelulusan KKM, tetapi KKM bukanlah badan yang dilantik dalam memastikan samada ubat-ubatan yang diluluskan adalah halal.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ bahawa Rasulullah S,A.W bersabda: Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyait itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.”

Islam sangat mementingkan aspek khasiat dan kebersihan supaya ubat yang dimakan selain membawa manfaat, tidak juga memberikan kemudaratan.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Walau bagaimana pun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24 – 25 September 1984 telah memutuskan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang adalah diharuskan kerana dharurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.

Dalam hujah yang digunakan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan ialah secara amnya, penggunaan bahan-bahan yang haram atau yang bercampur dengan najis untuk tujuan perubatan adalah haram.

Walaubagaimanapun menggunakan ubat dari benda yang najis selain dari benda yang memabukkan dalam keadaan dharurat adalah harus sebagaimana pendapat Ibnu Ruslan (Mazhab Shafie) dalam Kitab Sunan Abi Daud.

Pendapat ini berlandaskan kepada Hadith al-‘Urniyyin yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh Sahabat meminum air kencing unta membuat ubat.

Ramai ulama’ yang mengambil hadis ini sebagai kebenaran khas dimana umumnya adalah diharamkan berubat dengan benda yang haram kecuali tiada bahan lain yang boleh menggantikannya (dharurat).

Sebagai pengguna Muslim, adalah menjadi tanggungjawap kita untuk memastikan makanan atau ubat-ubatan yang kita ambil adalah daripada sumber yang halal. Gunakan sepenuhnya hak kita sebagai pengguna untuk bertanya kepada pihak penjual, (samada farmasi atau klinik) bahan yang digunakan dalam ubat tersebut, bagi memastikan kesihatan kita lebih berkat dunia dan akhirat.. InsyaAllah

Sumber : Majlis Fatwa Kebangsaan || Dr. Zubaidi Bin Hj. Ahmad

Leave a Reply

error: Content is protected !!