Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Jangan mengalah jika tersungkur. Bangunlah!

Dalam menjalani hari-hari baru dalam kehidupan, sering kali diri kita diuji dengan pelbagai dugaan. Kesakitan, kegagalan, kematian dan kesedihan adalah antara ujian yang memeritlan. Sukar untuk digambarkan perasaannya kerana kita yang perlu mengalaminya sendiri.

Siapa yang tidak pernah diuji?

Jika ditanya, siapa yang masih belum pernah diuji, pasti tiada jawapan yang mengatakan tidak. Semua sudah tentu pernah merasa diuji, bukan? Cuma ujian kita berbeza, dan percayalah ujian tersebut sesuai mengikut kemampuan diri masing-masing. Malah, seorang bayi yang kecil juga diuji di saat awal usianya ketika hendak mula belajar berjalan. Sering kali menangis dan tersungkur jatuh, namun akhirnya berjaya berdiri dan meneroka seluas-luasnya kehidupan yang serba indah ini…

Allah menguji sesuai dengan kemampuan hamba-Nya dan ujian tersebut adalah sebaik-baik kebaikan dan pengajaran kepada hamba-Nya.

Janganlah sesekali mempersoalkan, “Mengapa aku diuji?”

Sebaliknya, positiflah. Bersyukurlah kerana diuji. Berkatalah…

“Akulah insan yang terpilih”

“Aku kuat untuk lalui ujian ini.”

“Aku reda ya Allah. Aku hamba yang kuat.”

Lahirkanlah kata-kata yang positif supaya aura dan semangat sentiasa mengalir dalam jiwa kita, tidak sesekali membiarkan diri jatuh, dan dalam masa yang sama membangunkan hati supaya sentiasa reda dan ikhlas dalam menghadapi ujian.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 216:

…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Allah menguji dengan kasih sayang-Nya, yakinlah…

Wahai hamba yang kuat, bangunlah!

Walau diri telah tersungkur jatuh dan mengalah, tetap berusahalah bangun. Jangan sesekali berputus asa. Seberat apa pun ujian yang dilalui dan menguji diri, tetaplah reda dan ikhlas dalam menerima dengan seluas-luas hati yang terbuka, hati yang teguh… seteguh iman di jiwa. Walau perit dan pahit, dalam diam ‘ujian’ itulah sebenarnya satu ‘nikmat’, kurniaan Allah untuk kita kembali kepada-Nya, bermuhasabah diri dengan sebenar-benar cinta kepada yang maha Pencipta. Ketika menghadapi ujianlah, saat diri kita paling hampir kepada-Nya. Ketika inilah, cinta dan ketakwaan diri kita diuji dengan tahap yang sebenarnya, semaksimum yang mampu kita luahkan iaitu dengan sebtinggi-tinggi reda dan sabar.

Tiada bahagia yang kekal di dunia ini. Di dunia ini memang menjadi medan untuk kita berjuang dalam menghadapi pelbagai ujian sebagai balasan kejayaan dan kebahagian yang kekal di akhirat, di syurga-Nya yang hakiki. Syurga yang tak ternilai, pasti ujian yang dihadapi tak ternilai sukarnya. Sesuai dengan sebaik-baik ganjaran yang dijanjikan Allah.

Antara 5 tips untuk kembali bersemangat:

  1. Bermuhasabah diri
  2. Bermunajat kepada Allah- Solat sunat, membaca A-Quran dan berdoa
  3. Berjumpa dengan insan yang positif/disayangi- Ibu bapa, keluarga, rakan, guru pasangan
  4. Isi masa lapang dengan aktiviti/hobi yang menenangkan hati- menghadiri majlis ilmu/ kemasyarakatan
  5. Melihat perkara yang menenangkan sambil mengambil pengajaran- Ciptaan Tuhan seperti lautan, alam sekitar, haiwan

Bangunlah, kerana Allah.

Hidup sememangnya ujian untuk kita kembali kepada yang maha Pencipta. Bangunlah kerana Allah. Kerana Dia yang maha Hidup dan Kekal, selagi kita hidup selagi itulah segalanya kita serahkan kepada-Nya .Jangan sesekali mengalah atau berputus asa. Selagi ada nyawa di kandung badan, selagi itulah perjuangan hidup perlu diteruskan kerana masa, kesempatan dan peluang kejayaan sentiasa menanti.

Semoga Allah reda segalanya…

Bersabarlah, Yang Allah Simpan Lebih Baik

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!