Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Jimat Kos! Liang Pori Mengecil Hanya Dengan Bahan Semulajadi

Kulit yang licin, lembut, halus, mulus tanpa sebarang cela sememangnya menjadi dambaan kebanyakan orang lebih-lebih lagi bagi seorang wanita. Seboleh-bolehnya 1 liang pori pun kita tidak mahu nampak ada di kulit wajah kita.

Namun, usia yang semakin meningkat menyebabkan liang pori pada kulit wajah semakin membesar. Liang pori yang terbuka besar menyebabkan kulit muka nampak kasar, kusam dan tidak bermaya.

Jangan risau… Anda masih boleh mengecilkan liang pori pada wajah anda. Hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati pada harga yang sangat murah, anda boleh dapat kulit muka idaman anda. Yang penting, anda rajin, konsisten dan sabar untuk mengamalkan tips ini di rumah anda.

Kepentingan Liang Pori

Liang pori sangat penting pada kulit. Ini kerana liang pori membantu kulit anda kekal terhidrasi. Selain itu, ia juga berperanan untuk membuang toksin dari kulit dan juga menyerap nutrisi dari luar.

Kebiasaannya, individu yang mempunyai kulit berminyak mempunyai liang pori yang lebih besar daripada normal. Jadi, untuk dapatkan kulit muka yang sihat, amat penting untuk anda pastikan kulit kekal bersih dan lembap.

Faktor Liang Pori Membesar

Banyak faktor yang menyebabkan liang pori pada kulit muka menjadi besar, antaranya:

1) Genetik

Sekiranya ibu bapa anda mempunyai liang pori yang besar, kebarangkalian untuk anda mewarisi trait tersebut juga tinggi.

2) Kulit Berminyak

Apabila kulit muka terlalu berminyak, liang pori akan tersumbat. Ini mengakibatkan kulit mengalami keradangan dan pertambahan sebum. Kesannya, kulit jadi kurang tegang dan liang pori terbuka lebih besar.

3) Penuaan

Semakin meningkat usia, kadar pertumbuhan sel-sel baru semakin berkurang. Ini menyebabkan kulit semakin kurang anjal dan kendur. Oleh sebab itu, liang-liang pori semakin jelas kelihatan.

Salah Faham Tentang Liang Pori

1) Menutup dan Menghapuskan Liang Pori

Liang pori pada kulit kita tidak boleh ditutup apatah lagi dihapuskan terus. Ini kerana liang pori ada fungsi yang penting pada kulit anda. Liang pori ini harus terus terbuka agar kulit bebas bernafas. Selain itu, liang pori yang terbuka juga bertujuan untuk mengeluarkan sebum dan toksin daripada kulit anda. Apa yang mampu kita lakukan adalah mengurangkan saiz liang pori sahaja.

2) Wap Muka Penyebab Liang Pori Terbuka

Wap/Stim muka memang menyebabkan liang pori pada kulit terbuka. Prinsip sains, bila haba tinggi/panas, objek akan mengembang. Tetapi, wap muka sangat elok untuk membersihkan liang pori yang tersumbat. Itulah sebabnya, penting untuk kita  menggunakan teknik wap muka yang betul untuk mengelakkan daripada kulit menjadi rosak.

Tips Mudah Dan Murah Untuk Mengecilkan Liang Pori

Di sini, kami kongsikan 3 cara mudah dan murah untuk mengecilkan liang pori. Anda boleh amalkan setiap hari sebelum tidur hanya dari rumah.

1) Timun

Timun adalah astringent semulajadi yang baik. Ia boleh mengecilkan liang pori dan memperbaiki tekstur kulit anda.

Cara-cara :

  1. Kisarkan timun dengan sedikit air.
  2. Tambahkan sedikit perahan lemon.
  3.  Sapukan jus tersebut pada wajah.
  4. Biarkan 15 minit.
  5. Bilas dengan air.

2) Tomato

Tomato kaya dengan lycopene yang membantu kulit anda kekal anjal.

Cara-cara :

  1. Belah tomato kepada dua bahagian.
  2. Gosokkan tomato pada wajah dengan gerakan membulat.
  3. Biarkan 15 minit
  4. Bilas dengan air.

3) Ais

Ais bersifat sejuk, ia boleh mengecilkan liang pori pada wajah. Sangat digalakkan untuk aiskan muka sebelum anda bersolek untuk meminimumkan liang pori yang terbuka luas.

Cara-cara :

  1. Basuh ais.
  2. Balut ais dengan kain/tuala bersih.
  3. Sapukan kain berisi ais di sekeliling muka selama 5 minit.

Sebenarnya ada banyak lagi cara untuk mengecilkan liang pori pada wajah. Di sini, kami kongsikan kepada anda cara yang sangat mudah dan murah iaitu hanya menggunakan ais, tomato dan juga timun.

Orang selalu kata, nak cantik memerlukan kos maintenance yang tinggi. Ye ke? Tidak semestinya orang kaya sahaja boleh cantik. Bagi kami, untuk kekal cantik, cukup sekadar rajin dan berilmu. Tak perlu modal yang tinggi pun, anda tetap boleh miliki kulit wajah yang licin dan cantik.

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!