Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Kelebihan Dan Khasiat Limau Kasturi

Khasiat Limau Kasturi? Mesti ramai yang kenal kerana banyak kelebihan limau kasturi untuk kesihatan dan pemakanan.  Limau kasturi  atau limau sambal juga dipanggil kalamondon (Filipina), manaowan (Thailand) dan jeruk potong (Indonesia).

Senang saja nak kenal ciri-ciri limau kasturi. Antaranya, pokok yang berduri, kulit yang lekang dan  saiz yang kecil. Bagi yang nak cam limau kasturi yang dijual di pasar, warna kulitnya lebih gelap berbanding limau nipis.

Kandungan limau kasturi

Mungkin ada pelbagai kelebihan limau kasturi yang kita masih tak tahu. Menurut kajian oleh Dr Suri Roowi dari Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, MARDI limau kasturi ada banyak khasiat.

Spesies oren dan limau ada  bahan pahit (hesperidin dan neohesperidin) sebagai bahan utama. Namun, limau kasturi berbeza kerana kandungan bahan berkhasiat utamanya adalah Florentin-G, viteksin dan asid askorbik (Vitamin C).

  1. Floretin-G

Biasanya Floretin-G banyak pada epal dan sesetengah limau tropika. Menariknya, kandungannya dalam limau kasturi mungkin lebih tinggi daripada dalam epal. Jadi, tak hairanlah ia dijadikan minuman untuk kesihatan jantung, antioksidan dan antikedut. Contohnya Minuman Kasturi keluaran MARDI.

  1. Viteksin

Apa itu viteksin? Viteksin adalah agen mencegah penyakit darah tinggi dan menjaga kesihatan jantung kita. Sebagai contoh dalam buah Hawton Berry.

Tapi buat apa berbelanja dengan mahal sedangkan kita ada sumber yang tersendiri. Tambahan pula, kelebihan limau kasturi adalah harga yang lebih murah dan lebih senang dijumpai.

  1. Asid Askorbik (Vitamin C)

Mesti kaum wanita teruja dengan fakta ini. Siapa yang tak biasa dengar tentang Vitamin C, kan. Asid askorbik atau Vitamin C dengan dunia kecantikan tak dapat dipisahkan.

Selain membantu sistem kekebalan (imun), ia juga meningkatkan penghasilan kolagen dalam badan dan menghaluskan kulit. Walaupun selalu dikaitkan dengan buah oren, tapi tahu tak kandungan Vitamin C turut hadir dalam limau kasturi.

Khasiat dan Kelebihan Limau Kasturi

Memang banyak khasiat dan kelebihan limau kasturi dalam hidup kita. Kalau kita perasan, dari zaman datuk dan nenek moyang kita lagi ia digunakan. Rupa-rupanya mereka tahu khasiat tersembunyi dalam sumber berharga ni. Selain untuk masakan dan kecantikan, ia juga salah satu bahan perubatan atau penawar semulajadi.

Orang dulu-dulu selalu menggunakan limau kasturi untuk merawat masalah kesihatan seperti demam, batuk, selsema, pening kepala dan lelah.

Bakteria yang bercampur peluh biasanya menyebabkan masalah bau badan.  Bagaimana nak atasinya? Dikatakan makan limau kasturi dengan kulit boleh menghalang kita berpeluh dengan melampau kerana limau kasturi ada sebatian antibakteria yang baik.Selain itu, masalah kelemumur dan kepala berbau boleh diatasi dengan menggosok limau kasturi pada bahagian terlibat.

Walaupun cantik berbeza bagi setiap individu, namun siapa tak suka cantik, kan. Dari sudut kecantikan, limau kasturi memainkan peranan membantu masalah jerawat dan jeragat, haluskan kulit dan kurangkan berat badan. Jangan tak tahu, kelebihan limau kasturi juga sebagai agen pelunturan semulajadi yang amat ringan dan berkesan untuk mencerahkan kulit.

Percaya atau tak, petua orang dulu-dulu bukan sekadar ikutan tapi kerana khasiat semulajadi limau kasturi. Petua yang diamalkan rupanya ada maksud tersirat dan terbukti dengan penemuan dunia sains. Sebagai contoh, orang tua-tua sering berpesan agar memerah limau pada daging sebelum makan. Dari segi sains, jus limau yang diperah membantu memotong kandungan lemak dan kolesterol dalam daging agar paras creatinin dikurangkan. Ini penting kerana creatinin yang berlebihan dalam badan boleh merosakkan buah pinggang. Jadi, kalau dulu kita pandang remeh limau kasturi, kini ubahlah sudut pandangan ini dan hargailah hasil di bumi sendiri.

Rujukan:

  1. https://www.youtube.com/watch?v=P5eAO8vJL5k
  2. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140112/kn_04/Produk-9-Anugerah
  3. http://mediapermata.com.bn/kulit-putih-bersinar-dengan-limau-kasturi/
  4. http://keluarga.karangkraf.com/seleksi/7-jenis-ubat-dari-limau-kasturi-wow-rugi-jika-tidak-tahu-1.693400
  5. http://kebunlimau.blogspot.my/p/aktiviti-lain.html

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!