Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Kelebihan Masak Sendiri.

Wanita dengan masakan umpama bunga dengan tangkainya. Sangat berkait. Walaupun sebenarnya tugas memasak itu tugas sang suami, tapi sebagai wanita, anda pasti inginkan suami menikmati air tangan anda yang sudah tentu lebih istimewa. Lagipun, masak sendiri ni banyak kelebihannya. Jangankan yang dah berkahwin dan perempuan saja, yang bujang, yang lelaki, yang remaja, atau apa saja status anda, jika anda mampu masak sendiri setiap hari, anda sangat beruntung!

Jimat!

Masak sendiri lebih jimat. Rasanya semua orang setuju dengan kenyataan ini. Sejak-sejak ekonomi negara makin menurun, barang makin naik harga, kos hidup makin meningkat, apa yang terbaik yang boleh dilakukan adalah berjimat. Nah, masak sendiri adalah salah satu tips berjimat yang terbaik. Anda sendiri pun tahu kan, kos makan di luar kini semakin mahal. Sepinggan nasi dengan seketul ayam saja dah RM5+ di kebanyakan kedai. Air minuman lagi. Kalau dihitung, kos perbelanjaan makanan untuk sehari boleh mencecah sekurang-kurangnya RM15-RM20. Itu sehari. Kalau sebulan? Boleh jadi RM500++. Bagi yang dah bekerluarga, pastilah lebih tinggi kosnya. Bagi yang berpendapatan tinggi mungkin tiada masalah, tapi yang berpendapatan sederhana dan rendah, pening jugak dibuatnya. Jadi, anda boleh cuba masak sendiri di rumah untuk mengurangkan beban anda dan suami. Percayalah, masak sendiri jauh lebih murah kosnya.

Bersih!

Kebersihan itu sangat perlu dan penting untuk kesihatan. Anda yang suka masak sendiri tu sangat beruntung sebab anda boleh pastikan makanan anda bersih dan bebas kuman. Makanan di kedai belum tentu sebersih yang anda fikir. Anda perlu pastikan yang pinggan dan cawan yang digunakan dicuci dengan baik, daging dan sayuran dibersihkan dahulu sebelum dimasak, tiada lipas, tikus dan haiwan perosak lain dibahagian dapur, tukang masak sentiasa membersihkan tangannya semasa menyediakan hidangan, minyak masak tidak digunakan berkali-kali dan sebagainya. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda sendiri yang masak kerana kebersihan pastinya lebih terjamin.

Sihat!

Kenapa masak sendiri lebih sihat? Sebab anda boleh hidangkan makanan yang lebih tinggi kualitinya dibandingkan dengan hidangan di kedai. Bahan-bahan untuk memasak yang anda gunakan pastinya lebih baik. Ikan, daging dan sayur lebih segar bila anda membelinya di pasar. Di kedai, lauk-pauk ini mungkin telah lama disimpan, ada pula yang dipanaskan semula untuk mengelakkan kerugian. Jika anda masak sendiri, anda boleh kurangkan penggunaan gula, garam, bahan perasa, minyak dan sebagainya ketika memasak. Minyak masak kelapa sawit pula boleh digantikan dengan minyak zaitun atau minyak bunga matahari. Semua ini membantu secara tidak langsung dalam usaha anda mengekalkan kesihatan diri dan keluarga.

Masa Bersama Keluarga

Bagi para isteri dan ibu-ibu, memasak adalah waktu bersama keluarga yang boleh mengeratkan hubungan dan kasih sayang. Jika pada waktu lain anda sibuk dengan kerja atau rutin harian lain, anda boleh gunakan waktu memasak untuk luangkan masa bersama keluarga. Anda pulang dari kerja dan masih mampu bergegas ke dapur untuk hidangkan makanan buat keluarga, suami dan anak-anak pula kasihankan anda dan turut membantu di dapur, oh sweet kan? Sama-sama penat, sama-sama masak, sama-sama makan. Pada hari cuti pula, anda boleh cuba buat pizza, cheese cake, laksa, ayam bakar dan sebagainya dan jemput keluarga besar untuk menikmatinya bersama. Pasti keluarga anda gembira dan bahagia!

Semakin Cekap

Pernah dengar pepatah “Practice Make Perfect” ? Yup, setiap kali anda masak, kecekapan anda akan bertambah. Anda akan lebih bijak menganggar bahan yang akan anda gunakan untuk memasak. Contohnya penggunaan minyak, gula, garam, bahan perasa dan sebagainya. Semakin kerap anda memasak, semakin cekap anda di dapur dan semakin sedap masakan anda. Tak perlu lagi rujuk buku resepi setiap kali nak masak. Kalau nak rujuk pun, Cuma untuk resepi-resepi baru yang ingin anda cuba. Tak mustahil, anda boleh masak 2-3 hidangan sekaligus dalam 1 masa!

Suami Semakin Sayang

Kata orang tua-tua, kalau nak pikat suami, pikatlah dari perutnya. Perut kenyang hati pun senang. Suami pasti bangga jika mempunyai isteri yang pandai masak seperti anda. Lebih-lebih lagi bila keluarga dan rakan-rakannya turut memuji keenakan air tangan anda ketika mereka melawat keluarga anda di rumah. Anda bukan sahaja mampu menjimatkan wang ketua keluarga, anda juga secara tidak langsung menjaga kesihatan dia dan anak-anak,  memberi kegembiraan dengan keenakan masakan anda dan mengeratkan hubungan keluarga secara tidak langsung. Tak sayang lagi? Lol.

Banyak kan kelebihan masak sendiri ni? Jadi kalau anda pernah terfikir yang ianya menyusahkan atau merugikan masa, anda silap. Tak salah kalau kadang-kadang anda ajak suami makan di luar atau tapau dari kedai, tapi tak perlu lah setiap hari. Ajak lah pada hari-hari istimewa untuk meraikan sesuatu macam hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Atau ketika anda benar-benar letih dan tak mampu untuk masak. Yang pasti, keluarga pasti merindui masakan anda ketika mereka tidak bersama anda. Jom masak!

Leave a Reply

error: Content is protected !!