Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Kenali Tanda, Kaedah Rawatan Dan Pencegahan Demam Denggi

Bila dengar berita pasal demam denggi, rasa gerun je kan. Boleh dikatakan setiap hari statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa kes demam denggi kian bertambah tanpa kita tahu bila akan berakhirnya kes sebegini. Setakat ini tiada lagi vaksin untuk demam denggi. Cara terbaik untuk mencegah penyakit ini adalah elakkan dari digigit nyamuk dan jaga kebersihan kawasan rumah. Walaupun tidak ada rawatan yang tepat untuk denggi, ia masih boleh dirawat jika dapat mengesannya di peringkat awal.

Apa itu demam denggi? Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk harimau betina Aedes aegypti yang telah dijangkiti. Nyamuk-nyamuk ini membiak di dalam air bertakung dan selalunya menggigit pada hari siang. Oleh itu, seseorang yang digigit oleh nyamuk Aedes boleh mendapat penyakit ini.

Virus denggi tidak bermusim, tetapi kerap berlaku pada musim monsun, iaitu apabila berlakunya musim tengkujuh, maka  secara tidak langsung kes sebegini akan meningkat kerana keadaan cuaca panas dan lembap yang tidak menentu dan ditambah pula terdapatnya kawasan-kawasan air bertakung, di mana nyamuk dapat membiak dengan baik.

CIRI-CIRI NYAMUK AEDES 

Bagaimana mengenal nyamuk aedes aegypti ini? Ciri-ciri nyamuk ini adalah seperti berikut:

  • Mempunyai tubuh berwarna hitam dan tanda belang-belang putih hampir keseluruhan badannya termasuk kakinya.
  • Nyamuk ini mampu terbang sehingga 100 meter dari tempatnya menetas.
  • Memerlukan darah setiap 2 hari sekali.
  • Aktif pada waktu pagi dan senja.
  • Mampu bertahan hidup antara 2 hingga3 bulan
  • Sarang atau tempat penetasan nyamuk ini di kawasan air jenih yang bertakung, bukan dalam air keruh.
  • Suka bersembunyi di sebalik pakaian yang bergantung.

Walaupun nyamuk ini kecil, tapi ia mampu menyebarkan 4 jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).  Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja. Ini bermakna, jika individu yang tinggal di kawasan jangkitan denggi, kebarangkalian mereka boleh dijangkiti demam denggi yang berulang lebih dari sekali seumur hidupnya.

Demam denggi terdiri daripada demam denggi klasikkal (DD) atau demam denggi berdarah (DDB) yang boleh membawa maut. Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda seperti demam denggi biasa tetapi mudah mengalami lebam dan pendarahan seperti pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi. Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan dan jika tidak cepat memberikan rawatan, penyakit ini boleh membawa maut.

TANDA-TANDA DEMAM DENGGI

Tahukah anda, apakah tanda-tanda atau simptom seseorang itu mendapat demam denggi? Lazimnya demam panas akan terjadi pada hari ke-3 hingga hari ke-7 selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti. Tanda-tanda lain bagi demam denggi adalah seperti:

  • Sakit kepala
  • Sakit tulang belakang
  • Sakit sendi-sendi dan otot
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit biji mata
  • Cirit-birit
  • Ruam

Denggi pada bayi dan kanak-kanak yang masih kecil selalunya bermula dengan simptom-simptom penyakit virus:

  • demam
  • hidung berair
  • batuk
  • ruam kulit yang ringan

Manakala, bagi kanak-kanak yang lebih besar selalunya mengalami simptom-simptom tipikal sama seperti yang dialami oleh orang dewasa:

  • demam panas
  • sakit di bahagian belakang mata dan pada sendi-sendi
  • sakit kepala
  • ruam kulit bertompok merah dan putih
  • kurang selera makan
  • loya
  • muntah
  • gatal di tapak kaki
  • rasa sangat lemah semasa menghidapi penyakit dan juga lemah selepas sembuh.

Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi dan biasanya tumbuh pada hari ke-3 dan ke-4 selepas bermulanya demam.

Demam pesakit denggi boleh mencapai suhu 40 oC hingga 41 oC, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Demam denggi ini juga dikenali sebagai “breakbone fever” kerana melibatkan kesakitan pada sendi-sendi tubuh.

RAWATAN DEMAM DENGGI

Masih tiada rawatan khusus atau penggunaan antibiotok untuk merawat demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Biasanya, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya keadaan pesakit yang membimbangkan atau disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Biarkan pesakit rehat secukupnya dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan suhu demam dan mengurangkan kesakitan sendi. Namun begitu, elakkan pemberian ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Ada petua yang menyarankan agar pesakit diberikan sup ketam, air rebusan betik, diberikan suplemen tertentu dan pelbagai petua yang lain untuk menambahkan platlet darah. Bercerita mengenai pengalaman penulis sendiri apabila suami beliau dimasukkan ke PPUKM selama 4 hari akibat simptom virus demam denggi. Memang tiada rawatan khusus yang pihak hospital jalankan melainkan pemantauan rapi dan pengambilan sampel darah yang kerap. Sepanjang suaminya di hospital, penulis kerap memberi suaminya air minuman isotonik 100 plus dan air buah jambu merah selain kekerapan minum air mineral dan rehat yang secukupnya.

Pada kebiasaanya pesakit akan sembuh secara beransur-ansur, bergantung kepada sistem imunisasi atau daya ketahanan tubuh melawan penyakit.

BAGAIMANA SEKIRANYA BAYI MENDAPAT DEMAM DENGGI, APAKAH TANDA-TANDA DAN KAEDAH RAWATANNYA?

Ibu bapa mana yang tidak risau jika anak mendapat virus demam denggi. Bawa bertenang dan jangan jadi doktor Google ya. Sekiranya anak kecil anda menghidapi demam panas yang tidak dapat diubati oleh ubat untuk beberapa hari, dan diikuti dengan ruam kulit atau sakit sendi, berjumpalah doktor dengan kadar segera kerana rawatan perubatan di peringkat awal boleh mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Oleh sebab simptom denggi dan demam chikungunya adalah seakan-akan sama, doktor anda akan membuat ujian darah untuk mengesahkan diagnosis.

Selalunya, rawatan diberikan untuk mengurangkan simptom-simptom seperti ubat anti-radang untuk sakit sendi dan ubat-ubatan lain untuk menurunkan suhu akan dipreskripsikan. Biarkan bayi anda rehat dengan banyak, berikan makananyang bertekstur lembut dan ringan tetapi penuh khasiat dan mengelap badan akan membuatkan anak anda berasa selesa. Jika bayi anda masih menyusu badan, kerapkan pemberian susu ibu agar tahap imunisasi badannya lebih kuat.

Jangkitan denggi boleh berlarutan sehingga 10 hari tetapi jika terdapat komplikasi lain seperti pendarahan, mungkin anak anda perlu dimasukkan ke hospital. Pencegahan dan rawatan awal adalah penting sebab jika tidak dirawat, denggi boleh menyebabkan pendarahan, kegagalan ginjal, konvulsi dan kematian bagi kes-kes teruk.

Walaupun anak anda telah menghidap denggi, ini tidak bermakna ia mempunyai imuniti terhadap tiga virus denggi lain yang berkait rapat. Di samping itu, demam denggi berdarah (DHF), iaitu satu jenis jangkitan yang teruk, selalunya dijangkiti oleh mereka yang sudah sensitif kepada virus denggi. Oleh itu, pencegahan adalah pilihan yang lebih selamat.

LANGKAH PENCEGAHAN DEMAM DENGGI

Oleh kerana tiadanya vaksin terbaik untuk merawak virus ini, namun masih terdapat pelbagai langkah pencegahan agar kita dan anak-anak tidak dijangkiti oleh virus demam denggi. Antaranya ialah seperti:

  • Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
  • Membuang bekas yang boleh menakung air
  • Pastikan tangki air atau bekas tadahan hujan sentiasa bertutup
  • Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
  • Bubuh serbuk abate ke dalam bekas penyimpanan air seperti kolah atau tempayan.
  • Pastikan saliran atap sentiasa mengalir

  • Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
  • Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup menjelang senja
  • Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang terutamanya apabila membawa anak kecil ke taman atau taman permainan.
  • Memasang kelambu atau penggunaan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup
  • Jika perlu menggunakan lingkaran elektrik, gelombang ultrabunyi, elektromagnetik atau pengewap cecair untuk menghalang kemasukan serangga dan haiwan perosak ke dalam bilik, pastikan semua ini dimatikan sebelum bayi anda masuk ke bilik.
  • Gunakan krim penghalau nyamuk dan penyembur berasaskan minyak serai wangi atau penghalau nyamuk jenis herba sebelum tidur.
  • Bayi yang lebih kecil dan tidak boleh meniarap lagi boleh diletakkan di dalam kelambu semasa tidur; penghawa dingin juga boleh membantu menghalang nyamuk sebab pintu dan tingkap bilik selalunya akan ditutup.
  • Semburan kabus (fogging) dilakukan jika berlaku kes denggi.

 

Rujukan: infosihat || babycenter || pengalaman penulis

Gambar : Google

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!