Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Ketahui Faktor, Simptom dan Golongan Berisiko Mendapat Kanser Payudara

Mengikut statistik, kanser payudara penyumbang peratusan tertinggi bagi penyakit kanser selain kanser serviks (rahim). Perkara ini sangat membimbangkan kerana menjadi antara penyebab utama kepada kematian akibat kanser di kalangan wanita. Dikatakan setiap seorang dalam 19 orang wanita adalah berisiko dalam jangka hayatnya. Malah, kanser ini juga boleh menyerang kaum lelaki. Namun, kesnya agak terpencil dan jarang sekali.Kkanser ini boleh menyerang sesiapa sahaja dan kebanyakan penghidapnya terdiri daripada wanita yang berumur kurang 50 tahun.

Beza tumor (benign) dan kanser (malignant)

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya akan menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini dikenali sebagai ketumbuhan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis ketumbuhan iaitu benign growth (tumor bukan barah) dan malignant tumor (tumor jenis barah). Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benign merupakan sejenis ketumbuhan yang tidak membahayakan nyawa para penghidapnya. Hampir 80 peratus daripada para penghidap ketumbuhan payudara adalah dari kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis ini.

Manakala kanser payudara adalah dalam kategori ketumbuhan malignant, iaitu ketumbuhan yang terhasil daripada tindakan sel-sel aktif yang bermula dari bahagian payudara hingga boleh menyebabkan kematian. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran sekaligus memasuki saluran darah, sistem limfa dan bahagian-bahagian organ lain penghidapnya. Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis.

TAHAP-TAHAP KANSER PAYUDARA

Tahap  1
Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 cm ataupun kurang daripadanya. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

Tahap 2
Pada tahap serta peringkat yang kedua ini, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat antara 2 cm hingga 5 cm. Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.

Tahap 3
Saiz ketulan barah payudara berukuran 5 cm. Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

Tahap 4
Pada peringkat serta tahap ini, serangan barah ini akan menjalar kepada bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara. Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan barah payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya.

Kanser payudara tahap 4 menyerang ke semua organ penting

FAKTOR RISIKO KANSER PAYUDARA

Terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan kanser payudara. Antara beberapa faktor risiko yang dapat dinyatakan ialah:

  1. Umur – umur merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Pesakit yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi. 1 daripada 500 wanita dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payudara.
  2. Jantina – Sama ada wanita atau lelaki, kedua-duanya sama-sama berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara. Namun, wanitalah yang paling berisiko mengalaminya.
  3. Sejarah keluarga – Terdapat juga beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya. Wanita yang mempunyai ibu atau anak perempuan atau kakak atau adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.
  4. Pengambilan pil perancang – Pengambilan pil perancang berhormon secara berpanjangan juga meningkatkjan risiko mendapat kanser payudara.
  5. Pernah menghidapi penyakit payudara benigna proliferatif.
  6. Kurang aktif dan bersenam – Wanita yang kurang aktif dan kurang bersenam risikonya mendapat kanser payudara lebih tinggi berbanding dengan wanita yang akif. Wanita yang bersenam 4 jam seminggu mengurangkan risikonya untuk mendapat kanser payudara. Senaman meningkatkan sistem imun dan mengurangkan paras estrogen.
  7. Diet yang tidak seimbang – Terlalu banyak bahan pewarna, garam dan perasa, pengambilan makanan segera dan makanan yang diproses atau tidak segar merupakan antara diet pemakanan yang tidak baik untuk kesihatan. Lemak dan kolesterol akan meningkatkan hormon estrogen yang menyebabkan pertumbuhan kanser. Amalkan pemakanan yang seimbang. Banyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet anda.
  8. Pengambilan alkohol yang berlebihan meningkatkan sedikit risiko anda mendapat kanser ini.
  9. Kehamilan – Risiko kanser payudara terdedah kepada wanita yang tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun. Begitu juga bagi ibu-ibu yang kurang atau tidak menyusukan bayinya kurang dari 6 bulan, mereka berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara.
  10. Sistem reproduksiAnda berisiko tinggi jika anda akil baligh sebelum umur anda 12 tahun, anda tidak mempunyai anak, bersalin anak pertama selepas umur 30 tahun atau anda menopaus selepas umur anda 55 tahun.
  11. Hormon terapi gentian – Anda perlu melakukan ujian mamogram sebelum mengambil hormon terapi gentian dan setiap tahun secara berkala. Pemantauan secara berkala oleh doktor adalah penting. Risiko meningkat sedikit dengan pengambilan hormon terapi gantian.
  12. Berat badan berlebihan – Berat badan berlebihan mungkin boleh meningkatkan risiko mendapat kanser payudara kerana sel-sel lemak menghasilkan estrogen yang boleh merangsangkan pertumbuhan kanser ini. Wanita sekitar umur 40-an dan 50-an yang mempunyai lebihan berat badan biasanya mempunyai 2 kali ganda risiko mendapat kanser payudara lebih tinggi berbanding dengan wanita kurus atau dengan berat badan ideal dalam lingkungan umur yang sama.

SIAPAKAH YANG BERISIKO TINGGI?

Kebanyakan wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara adalah mereka yang berikut:

  • Mempunyai sejarah mengidap kanser, iaitu pernah menghidapnya pada sebelah payudara sebelum ini.
  • Mempunyai masalah genetik tertentu yang meningkatkan risiko mendapat kanser payudara.
  • Mempunyai ibu, adik-beradik perempuan, anak perempuan atau lebih dari 2 orang saudara terdekat (seperti sepupu) yang pernah mengalami kanser payudara, lebih-lebih lagi jika dikesan pada umur muda.
  • Mempunyai masalah payudara yang meningkatkan risiko untuk kanser payudara (seperti atypical hyperplasia) atau pernah menjalani biopsi payudara lebih dari 2 kali untuk masalah payudara bukan kanser.
  • Wanita yang bersalin anak pertamanya semasa berumur lebih dari 30 tahun.

Walau bagaimanapun, faktor-faktor di atas ini tidak menyebabkan kanser payudara secara tepatnya tetapi cuma meningkatkan risiko sahaja. Mempunyai satu atau lebih faktor risiko tidak bermakna anda pasti akan mendapat kanser payudara. Lagipun, hanya 5 peratus wanita yang mengidap kanser ini adalah dari mereka yang mempunyai faktor genetik menghidap kanser payudara.

SIMPTOM KANSER PAYUDARA

Biasanya simptom atau gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, pengeluaran cecair lelehan dari puting, sakit atau ketidakselesaan di sekitar payudara.

Adanya ketulan

Tanda paling kerap adalah ketulan seperti benjol atau penebalan tisu payudara. Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin.

Lelehan cecair atau darah

Berlakunya lelehan atau cairan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan ia datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan. Lelehan bercampur darah atau lelehan sebelah sahaja adalah tidak normal dan memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.

Perubahan payudara

Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya. Payudara dan puting akan mengalami perubahan saiz, bentuk, warna dan rupa kulit payudara. Bentuk dan saiz payudara akan berubah dan tidak selaras kedua-dua belah. Urat-urat akan menimbul dan terbentuk lekukan pada kulit payudara. Tekstur payudara akan kelihatan atau dirasai seperti kulit buah oren.

Ruam di sekitar payudara

Ruam di bahagian ini dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara manakala ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.

Simptom-simptom yang dinyatakan ini adalah tanda-tanda yang lazim terdapat bagi penghidap kanser payudara. Kadang kala, tidak ada sebarang tanda sehinggalah tanda sedar kanser payudara telah merebak dan berada pada tahap yang membimbangkan. Kerana itulah perlunya melakukan beberapa kaedah pengesanan kesihatan payudara sejak dari awal.

BAGAIMANA MENGESANNYA?

Ada beberapa cara atau kaedah yang boleh dilakukan bagi mengesan sama ada ketulan atau benjolan yang anda alami itu bersifat benign atau malignant.

Pemeriksaan Sendiri Payudara

Lakukan pemeriksaan sendiri payudara sekali setiap bulan bermula dari umur 18 tahun. Perhatikan jika ada apa- apa perubahan pada tisu payudara seperti perubahan pada saiz, benjolan, kulit berkedut atau lelehan dari puting. Lazimnya, 8 daripada 10 benjolan adalah bukan kanser. Ia mungkin gumpalan kelenjar payudara normal atau hyperactive atau cyst berisi cecair.

Untuk wanita berumur lebih dari 40 tahun, cara yang paling berkesan adalah mamogram. Namun ianya hanya dapat mengesan 80-90% kanser payudara pada peringkat awal. Walau bagaimanapun, doktor perlu juga melakukan pemeriksaan klinikal dan anda juga perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan. Tiada satu kaedah yang 100% berkesan.

Mamografi

Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan.  Tekanan yang dikenakan untuk memampatkan tisu payudara mungkin menyebabkan rasa tidak selesa tetapi bukan sakit. Mamogram perlu dilakukan pada waktu di mana payudara adalah tidak sakit.

Mesin mamografi moden mendedahkan seseorang kepada dos radiasi yang sangat rendah dan kegunaan klinikalnya jauh melebihi sebarang risiko yang terlibat. Risiko radiasi bersamaan berjemur lebih 4 jam di bawah sinaran matahari.

Ultrasonografi

Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir.

Biopsi

Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop.

Bulan Oktober merupakan bulan memperingati hari kanser payudara sedunia. Oleh itu, setiap wanita perlu mengenali payudaranya secara terperinci dan menyedari dengan serius sekiranya terdapat sebarang perubahan yang pelik atau menyakitkan. Sekiranya anda merasai benjolan dan bimbang ianya kanser payudara, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan rapi. Bukankah mencegah dari awal itu lebih baik daripada mengubati.

 

Rujukan : kesihatan || wanista || lppkn

Gambar : Google

Leave a Reply

error: Content is protected !!