Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

KETAHUI RAHSIA DI SEBALIK WARNA DAN BILANGAN ROS

Bunga ros atau bunga mawar selalu ditanam sebagai pokok hiasan kerana warna yang pelbagai dan baunya yang harum. Selain itu, bunga ros segar adalah pemberian yang sangat popular dalam mencurahkan perasaan. Tahukah anda apa rahsia di sebalik warna dan bilangan bunga ros yang diterima? Adakah pemberi ada mesej tertentu yang nak disampaikan?

Ros melambangkan bunga cinta yang sering dikaitkan dengan perasaan romantis dan kasih sayang. Namun jangan salah sangka bunga ros hanya untuk pasangan bercinta, kerana bunga ini juga boleh memberi maksud dalam persahabatan dan penghargaan kepada seseorang. Ayuh kita singkap rahsia warna dan bilangan ros, untung-untung orang yang menerima semakin memahami isi hati si pemberi.

Rahsia Di Sebalik Warna Bunga Ros

1. Bunga Ros Merah

Merah melambangkan rasa sayang, cinta yang ikhlas serta keberanian. Tak hairanlah apabila bunga ros merah selalu dipilih sebagai hadiah ketika nak luahkan perasaan cinta. Walaupun ianya nampak ringkas tapi penuh simbolik. Selain itu, ia juga sering digunakan dalam acara rasmi atau memberi penghargaan.

2. Bunga Ros Pink (merah jambu)

Warna ini menyampaikan mesej kegembiraan, kesyukuran serta sifat kewanitaan yang tinggi. Terdapat dua jenis bunga ros pink iaitu pink gelap dan pink cerah yang membawa maksud berbeza. Bunga ros pink gelap menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan manakala bunga ros pink cerah pula sebagai tanda simpati dan kekaguman.

3. Bunga Ros Kuning

Bunga ros kuning menggambarkan persahabatan, kelegaan dan kebebasan. Selain menceriakan hari seseorang, bunga ros kuning juga digunakan untuk mengucapkan tahniah atas sesuatu kejayaan. Di samping itu, ia menjadi simbolik kepada permulaan sesuatu yang baru seperti perhubungan baru.

4. Bunga Ros Putih

Putih sering dikaitkan dengan maksud kesucian, kerohanian serta pengakuan. Jadi, ianya menjadi pilihan sebagai luahan cinta sejati yang suci. Malah bunga ros putih juga disebut ‘bridal rose’ kerana sering digunakan sebagai gubahan hari perkahwinan.

5. Bunga Ros Ungu

Pemberian bunga ros ungu membawa maksud tersendiri iaitu cinta pandang pertama. Walaupun warna ini bukan menjadi pilihan utama berbanding warna merah, bunga ros ungu memberi suatu mesej istimewa tanda cinta yang sangat mendalam. Selain itu, warna ini juga melambangkan kemewahan, keagungan dan kemegahan.

6. Bunga Ros Oren

Bunga ros oren membawa maksud keinginan, kebanggaan serta semangat yang tinggi. Ia menunjukkan harapan untuk memiliki hubungan yang lebih panjang dan bermakna. Bukan sahaja boleh dihadiahkan kepada insan istimewa, bunga ros oren juga sesuai diberi kepada rakan kongsi tanda kerjasama dalam perniagaan.

7. Bunga Ros Hitam

Walaupun jarang didapati namun bunga ros hitam masih menjadi pilihan sesetengah orang. Namun anda perlu berhati-hati ketika membuat pilihan kerana mungkin sesetengah orang agak sensitif dengan warna ini. Bunga ros hitam atau bunga ros berwarna merah gelap membawa erti kelahiran atau kematian. Ia menggambarkan tanda selamat tinggal atau kematian. Tetapi ia juga boleh memberi gambaran mesej positif seperti suatu permulaan yang baru.

8. Bunga Ros Biru

Mustahil dan tak dapat disempurnakan. Inilah gambaran atau mesej yang ingin disampaikan melalui bunga ros biru. Bunga ros biru tidak wujud secara semulajadi dan hanyalah buatan semata-mata. Jadi, ia menyampaikan mesej tersirat bahawa hubungan itu adalah mustahil dan tidak dapat diteruskan.

Rahsia Di Sebalik Bilangan Ros

1 kuntum – cinta pandang pertama

2 kuntum – dua insan saling menyayangi

3 kuntum – aku cinta padamu

6 kuntum – aku ingin menjadi milikmu

9 kuntum – cinta abadi hingga ke hujung nyawa

10 kuntum – kau sempurna buatku

11 kuntum – kaulah yang paling berharga

13 kuntum – peminat rahsia

20 kuntum – percayalah, aku sangat jujur tehadap dirimu

33 kuntum – aku cintakanmu dengan cinta mendalam

44 kuntum – berkekalan dan takkan berubah

50 kuntum – cinta tanpa penyesalan

99 kuntum – cinta dan kefahaman jadikan cinta berpanjangan

100 kuntum – mencintaimu sepanjang hidupku, kekal hingga akhir hayat

Sedikit sebanyak kita dah ketahui rahsia di sebalik warna dan bilangan ros yang diterima atau diberi. Pemilihan bunga ros bergantung kepada mesej yang ingin disampaikan oleh si pemberi secara halus. Namun jangan terlalu taksub dengan maksudnya kerana tak mustahil sesetengah orang memilih warna dan bilangan ros tertentu secara kebetulan sahaja. Tetapi jika si dia memang berhasrat menyampaikan isi hatinya, wah maknanya kamu benar-benar beruntung ♥.

Rujukan:

  1. https://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Bunga_Mawar
  2. http://www.notawanita.com/makna-di-sebalik-warna-bunga-ros/
  3. http://www.syahirahvaliant.com/2015/04/makna-tersirat-disebalik-warna-dan.html
  4. http://www.wom.my/ada-apa/rahsia-bunga-ros/
  5. http://101-rahsia.blogspot.my/2010/01/rahsia-di-sebalik-bilangan-kuntuman.html

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!