Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Khasiat Madu Kelulut Dalam Bidang Perawatan dan Kecantikan

Barangkali mungkin ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar tentang madu kelulut apatah lagi melihat lebah kelulut mahupun merasai madunya. Biasanya, bila disebut tentang madu, ia amat sinonim dengan madu lebah atau madu tualang berbanding dengan madu yang dihasilkan oleh kelulut.

Walau bagaimanapun, kita sememangnya dituntut untuk berubat atau membuat rawatan menggunakan madu, sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran surah An-Nahl, ayat 69 :

“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.” [QS. An-Nahl : 69]

Apa itu kelulut?

Kelulut merupakan sebahagian daripada kelompok keluarga lebah, namun ia lebih kecil dan tidak bersengat. Seperti lebah, kelulut juga membentuk koloni sosialnya yang kompleks dan biasanya membuat sarang pada batang kayu yang telah ditebang.

Madu kelulut biasanya warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Madu dan propolis yang terhasil daripada lebah kelulut itu mempunyai banyak khasiat berbanding dengan madu lebah biasa kerana fungsinya sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim mahu pun tablet.

Kajian awal yang dilakukan di Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Mardi menunjukkan asid fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan asid 4-hidroksifenilasetik adalah di antara bahan utama yang telah berjaya dikenalpasti dalam madu kelulut. Bahan-bahan ini tergolong dalam kumpulan asid fenolik bebas. Asid fenolik bebas merupakan bahan aktif yang boleh bertindak sebagai antikanser dan antioksidan dan bahan ini lebih mudah untuk diserap dalam tubuh manusia berbanding bahan aktif lain seperti flavonoid.

KHASIAT MADU KELULUT DALAM BIDANG PERUBATAN

Madu kelulut sememangnya mempunyai banyak khasiat. Disebabkan lebah kelulut lebih kecil berbanding lebah biasa, ia mampu menghisap madu daripada bunga sehingga ruang paling dalam. Hasilnya, madu yang dihisap mengandungi banyak vitamin dan mineral.

Antara bahan penting yang dihasilkan kelulut ialah propolis. Propolis dihasilkan oleh lebah melalui campuran air liurnya dengan bahan makanannya seperti debunga, kulit kayu, pucuk-pucuk pokok dan bunga. Anak-anak lebah kelulut dan kokun sangat sensitif kepada serangan virus, kulat dan serangga perosak. Untuk memastikan sarang sentiasa bersih, steril dan kondisi terkawal, lebah kelulut menghasilkan propolis yang berfungsi sebagai antikulat, antivirus dan antibakteria.

Khasiat propolis ialah mengandungi kesemua 16 jenis asid amino, glukosa, vitamin A,B,C,D dan E, bioflavanoid dan pelbagai mineral.  Bioflavanid sangat baik untuk kelancaran dan baik pulih sistem tubuh manusia dan ternakan.

Antara penyakit yang dapat dirawat menggunakan madu kelulut adalah seperti:

  1. Diabetis Mellitus (Kencing Manis)
  2. Strok
  3. Mencegah kanser
  4. Darah tinggi
  5. Gout
  6. Sakit-sakit sendi
  7. Menguatkan tenaga batin
  8. Anti-Penuaan
  9. Jerawat
  10. Penyakit kulit yang disebabkan oleh kulat seperti kudis, kurap, panau
  11. Meningkatkan metabolisme badan, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin.
  12. Memulihkan kecederaan dalaman

KHASIAT MADU BAGI KECANTIKAN WAJAH

Khasiat madu kelulut tidak terbatas digunakan dalam bidang perubatan sahaja, malahan sangat baik dan dapat dimanfaatkan dalam bidang kecantikan.

Masker Pelembab
Madu dikatakan dapat menarik wap air dari udara masuk ke dalam lapisan kulit sekaligus mengekalkan kelembapan dan bertahan dengan lebih lama. Untuk mendapatkan kulit yang lembap, sapukan 1 sudu besar madu kelulut pada bahagian kulit yang kering dan biarkan selama 15-20 minit. Kemudian bilaskannya dengan air hangat.

Kulit Yang Anjal
Madu dan putih telur merupakan salah satu ramuan ajaib yang berkesan untuk mendapatkan kulit wajah yang anjal, tegang dan sentiasa nampak awet muda.

Pukul putih telur bersama dengan satu sudu makan madu. Sapu dan urut lembut ke seluruh wajah. Biarkan ia kering selama 10-15 minit. Kemudian, bilas wajah dengan air hangat.

Melembutkan Kulit
Minyak zaitun merupakan ekstrak terbaik yang boleh digunakan sebagai salah satu bahan campuran ke dalam masker buatan anda. Untuk mendapatkan kulit wajah yang lembut, dan mulus, campur 1 sudu makan madu bersama 1 sudu makan minyak zaitun. Perahkan sedikit jus lemon dan beberapa titis minyak essensial kegemaran anda bagi membangkitkan aroma yang menenangkan. Amalkan setiap hari untuk hasil terbaik.

Kulit Wajah Yang Sihat
Kulit wajah yang sihat, putih, gebu, halus dan bebas jerawat sememangnya impian bagi setiap orang terutamanya para wanita yang sentiasa ingin tampil dan dipandang cantik.

Oleh yang demikian, maka gabungan kunyit dan bawang putih memberi kesan yang mengagumkan jika kita rajin mengamalkannya. Kedua-dua bahan ini memiliki sifat dan fungsi seperti madu iaitu sebagai antiseptik, antibakteria, antivirus dan juga anti-inflamasi yang kuat.

Kaedahnya,ambil 6 ulas bawang putih dan kunyit hidup sebesar ibu jari. Kupas kulit dan hancurkannya. Campurkan bersama 3 sudu besar madu kelulut. Sapu rata ke seluruh wajah dan biarkan sehingga kering. Bilas dengan air bersih dan keringkannya.

Menyembuhkan Bekas Luka
Madu dikatakan dapat mencerahkan kulit yang kusam, bertindak sebagai anti-inflamasi dan antibakteri yang membantu dalam pemulihan sel di samping mengurangkan bekas luka.

Campurkan satu sudu teh madu dengan satu sudu teh minyak kelapa atau minyak zaitun. Sapukan ke sekitar kawasan yang diingini dan urut-urutkannya secara melingkar selama 1 hingga 2 minit. Kemudian letakkan kain hangat pada kulit, dan biarkan sehingga kain itu sejuk. Ulanginya setiap hari.

Memulihkan Kulit Yang Terbakar
Madu mengembalikan hidrasi ke dalam lapisan kulit yang terbakar akibat sinaran matahari. Puran antara madu dengan lendir kulit buaya mampu memulihkan semula kulit yang terbakar kerana sifatnya yang berfungsi sebagai antiradang.

Merawat Jerawat
Oleh kerana madu itu sifatnya yang bertindak sebagai antibakteria dan antiradang, maka ia digunakan sebagai alternatif untuk merawat jerawat selain mengurangkan kemerahan muka akibat radang.

Cuba sapu beberapa titik madu kelulut dan sedikit serbuk kulit kayu manis ke kawasan yang berjerawat, lalu dibiarkan kira-kira 15 minit. Kemudian bilas. Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, elakkan dan dapatkan nasihat pakar kulit terlebih dahulu bagi mengelakkan keradangan menjadi lebih teruk.

Menyegarkan Wajah
Anda sudah kehabisan toner muka? Ambil epal atau timun yang telah dicuci dengan bersih, buang biji dan hiriskannya lalu masukannya ke dalam blender. Kemudian tambahkan 1 sudu makan madu dan kisarkannya sehingga halus.

Sapukan campuran tadi ke seluruh wajah dan biarkan 15 minit untuk hasil yang memuaskan. Bilas seperti biasa dan keringkan wajah.

Tiada Lagi Kulit Kusam
Kulit wajah yang kusam boleh membuatkan hari-hari kita murung, bukan. Bagaimana nak dapatkan kulit yang lembap berseri? Jawapannya, rajin-rajinlah scrub muka.

Hasilkan scrub wajah sendiri sangat mudah. Hanya dengan mencamprkan 1 sudu besar madu, 1 sudu besar badm halus, 2 sudu besar oat kering, beberapa perahan jus lemon atau yogurt. Tepekkan ke muka dan biarkan seketika. Urut perlahan dan gosok-gosokkan scrub tersebut ke wajah anda. Bilas dengan air hangat. Campuran ini akan memberikan kesan pembersihan ke dalam pori-pori wajah.

Hasilkan sabun muka sendiri
Masa kini sudah banyak set penjagaan wajah yang bersifat natural, namun harganya yang agak mahal mungkin membuatkan anda berfikir banyak kali sebelum membelinya. Usah risau kerana kini anda boleh menghasilkannya sendiri dari rumah. Ia bukan sahaja menjimatkan, malahan bahannya juga dapat bertahan lama.

Caranya dengan memncampurkan 1/4 cawan madu, 1 sudu makan sabun muka dan 1/2 cawan gliserin. Simpankannya ke dalam bekas/botol pam. Cuci dan bersihkan wajah anda seperti biasa.

Melindungi Kulit
Kandungan madu yang mengandungi antioksidan akan memperbaiki kulit dan melindunginya dari kerosakan akibat pencemaran persekitaran, radiasi dan cahaya matahari.

Amalkan dengan mencampurkan 2 sudu besar madu tersebut ke dalam segayung air panas. Pastikan madu itu benar-benar larut sebelum tuang dan campurkannya ke dalam tab mandian. Mandi dan biarkan tubuh berendam seketika dan anda akan rasai kelainannya.

Menanggalkan bulu

Tak perlu lagi mencukur kerana kesannya akan meninggalkan kulit yang kasar dan hitam. Madu sebenarnya juga boleh dijadikan wax untuk menanggalkan bulu yang tidak diingini.

Caranya dengan masak 2 senduk madu dan dicampukannya dengan gula pasir serta perahan sebiji lemon. Masak dengan api perlahan sehingga sebatian larut dan kental. Biarkan sejuk. Simpan dalam bekas bertutup dan anda kini sudah mempunyai wax penanggal bulu. Gunakan sudu atau kayu aiskrim dan sapukan wax itu ke kawasan yang berbulu. Lekatkan kain perca putih dan tarik berlawan arah dengan pantas. Selamat mencuba.

Rujukan : madukelulutasli || beautips

Gambar : Google

 

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!