Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Merawat Kulit Berjerawat dengan Buah Bidara atau Kurma Cina

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Biasa dengarkan pantun empat rangkap ini? Agaknya apa rasa buah bidara menjadi ulaman nasi lemak ya dan tahukah anda apa itu buah bidara? Mungkin ada di kalangan kita yang tahu dan mungkin ramai juga yang tidak mengenali buah ajaib ini.

Buah bidara  atau Ziziphus jujuba juga dikenali dengan nama kurma merah atau kurma cina merupakan buah tempatan yang mempunyai rasa yang enak. Tumbuhan ini hidup meliar dan sering ditemui di kawasan yang kering dan berbatu. Pokok ini merupakan pokok kecil berdaun hijau, lebar dan berkilat, berbunga kecil dan buahnya boleh dimakan. Ketika buah ini masih muda, bentuknya adalah seperti epal dan akan mengecut menjadi sebesar saiz kurma apabila matang. Di kawasan gurun Cholistan, ekstrak bidara kering diminum sebelum sarapan.

Ada kalanya ia dimakan begitu sahaja, dijadikan snek atau dibuat jus. Selain itu, buah bidara biasanya dijadikan jeruk dan dikomersialkan di pasaran. Dalam komuniti Islam, daun buah ini selalunya digunakan dalam campuran air mandian jenazah.

Dari aspek kesihatan dan perubatan, buah ini digunakan untuk menghilangkan tekanan. Buah bidara memiliki ciri-ciri antibakteria, antikulat, antikeradangan, antioksidan dan mampu menyembuhkan luka.

Mungkin ramai yang tidak tahu khasiat sebenar buah ini. Dikatakan kandungan vitamin C yang terdapat di dalam buah bidara adalah 20 kali ganda tinggi berbandig dengan buah-buahan sitrus yang lain. Selain vitamin C, buah bidara turut mengandungi banyak vitamin pentng, terdiri daripada vitamin B kompleks seperti vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin B6.

Kebaikan buah bidara adalah lebih signifikan dengan kehadiran 18 daripada 24 jenis asid amino dan mineral penting di dalamnya. Antaranya termasuklah – mangan, kalium, ferum, kalsium dan fosforus.

KEBAIKAN BUAH BIDARA DALAM PERAWATAN

Mengatasi Sembelit

Simpan dan keringkan kulit batang pohon bidara yang telah berusia tiga hingga empat tahun selama satu hingga dua tahun, ia dapat merawat masalah sembelit.

Caranya adalah dengan mengambil satu sudu besar kulit batang pohon ini dan rendam di dalam setengah liter air selama 12 jam. Kemudian, minum air rendaman ini pada setiap waktu pagi dan petang. Petua ini dipercayai dapat mengubati sembelit akut dan gangguan yang ditimbulkannya seperti lemah darah, debaran jantung yang tidak teratur dan penyakit di dalam erut terutamanya yang melibatkan sistem pencernaan.

Merawat Kulit dan Jerawat

Ambil beberapa daun bidara, lalu tumbuk halus dan masukkan ke dalam cawan atau mangkuk. Tambahkan dengan sedikit air ehingga campuran agak kental sedikit. Sapukan pada kulit wajah yang bermasalah sebagai masker. Biarkan seketika sehingga mengering keseluruhannya. Kemudian bilas dan cuci dengan air bersih (tanpa sabun). Ulanginya sehingga kulit kembali sihat.

CARA PENYIMPANAN

Buah bidara boleh dimakan segar atau dikeringkan. Buah bidara basah atau segar perlu dibungkus dengan plastik yang berlubang sebelum disimpan untuk mengurangkan kehilangan air daripada buah dan untuk peraliran udara serta disimpan di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegarannya.

Bagi buah bidara kering pula, ia perlulah disimpan di dalam bekas kedap udara dan di tempat yang kering supaya tidak mudah rosak dan mampu bertahan lama tanpa merosakkan rasa, warna dan teksturnya.

Bekas makanan harus diletakkan di atas rak utuk mengelakkan kontaminasi. Selain itu, sentiasa habiskan stok yang lama dalam bekas sebelum stok baharu ditambah agar jangka masa penyimpanan buah bidara kering lebih tahan lama.

 

Rujukan : Dr. Faszly Rahim, Dr. Wan Nayarudin Wan Abdullah, Prof. Dr. Aminah Abdullah, ed., 2015. Bidara dlm. “Indahnya Pemakanan & Perubatan Islam : Keajaiban Penyembuhan Dengan Farmakologi Alam”. Kuala Lumpur Telaga Biru Sdn. Bhd. Hlm. 91-95

Gambar : Sumber Google

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!