Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Patutlah Kurma Sering Dimakan Pada Bulan Puasa. Banyak Khasiatnya Untuk Kesihatan.

Buah kurma secara automatik jadi buah yang paling laku keras dalam kalangan Muslim ketika Bulan Ramadhan. Ramai yang ingin memanfaatkan amalan sunnah berbuka puasa dengan buah kurma. Sebenarnya, buah kurma sangat banyak kebaikan, bukan sekadar untuk orang berpuasa, tetapi juga kepada sesiapa sahaja.

Pohon kurma dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi, dan telah ditanam sejak zaman silam dari zaman Mesopotamia ke zaman Mesir Purba seawal tahun 4000 SM. Malah terdapat bukti arkaeologi tentang penanaman kurma di Arabia timur pada tahun 6000 SM. Namun kini, pohon kurma juga telah ditanam di Malaysia, iaitu di Negeri Kelantan. Malah pohon itu telah berbuah dengan sangat lebat pada tahun 2014.

Kurma masak dalam empat peringkat iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut), dan tamar (masak, kering matahari). Namun, di Malaysia kita biasanya menikmati kurma jenis tamar, iaitu kurma yang telah kering.

10 Jenis Nutrisi Dalam Buah Kurma

1) Gula Ringkas

Kurma mengandungi gula ringkas seperti fruktosa dan dextrose. Malah ia juga turut memberi tenaga segera kepada pemakannya. Itulah sebabnya buah kurma sering menjadi amalan sewaktu berpuasa di bulan Ramadhan. Selain kerana sunnah Rasulullah saw, umat Islam mengamalkan buah kurma sewaktu bersahur dan berbuka puasa sebagai pemberi tenaga setelah lapar berpuasa.

2) Serat

Buah kurma kaya dengan serat makanan. Serat membantu menghalang penyerapan kolesterol jahat (LDL) dalam darah. Selain itu, serat juga dapat mengelakkan masalah sembelit kerana serat membantu melancarkan pembuangan najis. Oleh sebab itu, kurma dapat membantu melindungi dinding usus daripada bahan kimia penyebab kanser yang terdapat di dalam kolon.

3) Tanin

Kurma juga mengandungi antioksidan flavonoid polifenol yang dikenali sebagai tanin. Tanin mempunyai ciri-ciri anti jangkitan, anti radang, dan anti pendarahan (mencegah risiko pendarahan kecil).

4) Vitamin A

Kurma juga mengandungi vitamin A (149 IU atau 5% daripada RDA setiap 100 g). Vitamin A mempunyai sifat antioksidan dan bagus untuk mata. Pengambilan buah-buahan semulajadi yang kaya dengan vitamin A juga dapat mencegah risiko kanser paru-paru dan rongga mulut.

5) Antioksidan

Kurma juga mengandungi  flavonoid antioksidan seperti beta karoten, lutein, dan zeaxanthin. Antioksidan ini mempunyai keupayaan untuk melindungi sel-sel dan struktur lain dalam tubuh daripada kesan berbahaya radikal bebas.

6) Zat Besi

Zat besi juga merupakan salah satu nutrien yang terkandung dalam buah kurma. Ia mengandungi 0.90 mg zat besi / 100 g buah (kira-kira 11% daripada RDA). Zat besi merupakan komponen hemoglobin di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen dalam darah. Kekurangan zat besi akan menyebabkan anemia (kurang sel darah merah).

7) Potassium

Kurma adalah sumber potassium yang baik. 100 g kurma mengandungi 696 mg potassium atau 16% daripada  RDA. Potassium merupakan komponen penting dalam sel dan cecair badan yang membantu mengawal kadar jantung dan tekanan darah. Oleh itu, potassium dapat mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung koronari.

8) Kaya Mineral

Buah kurma juga kaya dengan mineral seperti kalsium, mangan, tembaga, dan magnesium. Kalsium sangat penting dalam pembentukan tulang dan gigi. Selain itu, ia juga diperlukan oleh badan untuk penguncupan otot, pembekuan darah, dan pengaliran denyutan saraf. Badan manusia menggunakan mangan sebagai faktor utama untuk enzim antioksidan. Tembaga diperlukan untuk pengeluaran sel darah merah. Magnesium pula penting untuk pertumbuhan tulang.

9) Vitamin B-kompleks

Buah kurma juga mengandungi kumpulan vitamin B-kompleks serta vitamin K. Antara vitamin B yang terkandung di dalam buah kurma adalah pyridoxine (vitamin B-6), niacin, asid pantothenic, dan riboflavin. Vitamin ini bertindak membantu tubuh memetabolisma karbohidrat, protein, dan lemak.

10) Vitamin K

Vitamin K tidak glamour seperti vitamin C dan vitamin B. Namun fungsinya terhadap tubuh tidak boleh diabaikan. Fungsi utama vitamin K adalah membantu proses pembekuan darah dan menghentikan pendarahan.

Kenapa Buah Kurma Bagus Untuk Orang Berpuasa?

1) Beri Tenaga Segera

Disebabkan buah kurma mengandungi gula ringkas, jadi ia mampu memberi tenaga segera kepada orang yang berpuasa.

Menurut Dr David Canning, seorang pakar nutrisi British, beliau mendapati air yang mengandungi gula akan diserap ke dalam tubuh dalam tempoh 20-30 minit. Tetapi gula yang terkandung di dalam buah kurma akan habis diserap dalam tempoh 40-45 minit.

Tenaga yang dibekalkan oleh buah kurma lebih panjang tempoh waktunya berbanding gula biasa. Itulah sebabnya, kurma menjadi pilihan yang baik untuk memberi tenaga kepada orang berpuasa.

2) Meneutralkan Asid

Kurma mengandungi garam beralkali. Dan ia membantu meneutralkan asid dalam darah. Sewaktu berpuasa, kita banyak menikmati juadah yang pelbagai jenis ketika berbuka. Daging, sayur, nasi, buah-buahan, kuih-muih, boleh kata semualah yang dijual di bazar Ramadhan tu kita cuba nak beli.

Karbohidrat yang berlebihan boleh menyebabkan kandungan asid berlebihan dalam darah. Jadi, kurma yang mengandungi garam beralkali dapat meneutralkan sifat asdi tersebut.

3) Elakkan Sembelit

Sembelit boleh berlaku apabila pola waktu pemakanan kita berubah, kurang minum air dan kurang serat. Sewaktu berpuasa, kita tidak makan dan minum bermula selepas Subuh sehingga Maghrib. Malah, walaupun selepas berbuka, kita mungkin kurang minum dan mengambil serat dalam makanan kita. Faktor ini boleh menyebabkan sembelit.

Kurma yang kaya dengan serat, dapat mambantu mengelakkan masalah sembelit. Selain itu, kurma juga mudah hadam. Oleh itu, ia tidak menyebabkan keradangan perut.

Daripada Anas bermaksud : “Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Rasulullah s.a.w. akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sumber : Tazkirah

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!