Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Pelekat Pada Buah, ‘Kod Rahsia’ Yang Perlu Anda Tahu.

Apabila membeli buah-buahan, pernah tak terfikir kenapa mesti diletakkan pelekat. Adakah ia sekadar nombor atau ada maklumat peting? Biasanya buah-buahan yang dijual di pasar raya besar dilekatkan pelekat dengan kod atau nombor tertentu. Mungkin ramai yang fikir ia hanya digunakan untuk memudahkan urusan imbas (scan) harga di kaunter bayaran.

Memang ia bukan sahaja menjimatkan masa untuk imbasan harga malah memberi maklumat tentang cara penanaman buah itu. Pelekat berkod ini dikenali sebagai Price Look-Up Number atau PLU. Kod PLU dikawal oleh International Federation for Produce Standards (IFPS) iaitu organisasi yang menentukan kod untuk jualan buah-buahan di seluruh dunia. Ini bertujuan memudahkan kawalan inventori dan menjadikan proses pemeriksaan lebih cepat dan tepat.

Kod PLU menunjukkan buah-buahan itu ditanam secara organik, melalui teknik modifikasi genetik (genetically modified) atau secara konvensional.

Jenis kod PLU dan maksudnya

1.  Pelekat empat angka, bermula nombor ‘3’ atau ‘4’

Menandakan buah-buahan itu ditanam secara konvensional atau tradisional. Ini bermaksud ada penggunaan baja kimia, racun rumpai serta racun kulat. Sebagai contoh pelekat dengan kod 4131. Jadi, jika anda lihat angka ini bermaksud buah itu ditanam secara konvensional tidak kira walau ditanam di negara berlainan.

2.  Pelekat lima angka, bermula nombor ‘8’

Bermaksud buah-buahan yang telah ditanam melalui teknik modifikasi secara genetik (genetically modified, GM) atau kejuruteraan genetik (genetically engineered, GE). Buah-buahan ini berasal daripada biji benih yang telah diubahsuai dan mempunyai gen(baka) dari organisma lain. Walaupun agak sukar dijumpai di pasar raya, anda harus peka dengan kod yang bermula dengan angka 8 contohnya 84131 bagi mengelakkan produk ubahsuai ini.

3.  Pelekat lima angka, bermula nombor ‘9’

Apabila melihat sahaja lima angka yang bermula dengan nombor ‘9’, anda boleh tahu buah-buahan itu ditanam secara organik. Sebagai contoh buah-buahan dengan kod 94011. Lega kan, sebab anda tahu produk ini tidak melalui proses modifikasi genetik. Selain itu, kaedah tanaman ini juga tidak menggunakan racun perosak.

4.  Tanpa pelekat PLU

Bagaimana jika tanpa pelekat PLU? Buah-buahan yang diimport terutama dari luar negara sepatutnya mempunyai pelekat kod PLU. Agak berisiko untuk pembeli kerana ada kemungkinan pelekat ini sudah ditanggalkan atas sebab tertentu. Jadi, sukar untuk kita ketahui cara penghasilan buah-buahan ini.

 

Jadi kini anda dah tahu apa maksud nombor-nombor pada pelekat ini. Seharusnya anda peka dan beringat-ingatlah sebelum terus gigit epal atau kupas pisang, ya. Juga tak perlu bimbang tentang bahan pelekat pada belakang label tu, sebab ianya selamat dimakan. Tapi awas, nikmati buah-buahan itu sahaja jangan sampai tertelan labelnya sekali.

Sumber: Business Insider, Daily Mail, Be Well, Bright Side

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!