Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Kenapa Sarapan Penting?

Pentingkah sarapan untuk tubuh badan kita? Sarapan merupakan sajian awal dan makanan terawal yang kita ambil sebaik bangun dari tidur. Mungkin ramai orang yang tak sedar kepentingan sarapan kepada kesihatan tubuh badan dan tak ambil endah dengan hal ni. Pengambilan sarapan memainkan peranan penting dalam membekalkan tenaga sepanjang hari agar kekal cergas dan produktif.

Kepentingan Sarapan Kepada Kesihatan

1) Membekalkan tenaga berpanjangan

Sebaik bangun dari tidur, paras glukosa dalam darah agak rendah kerana perut telah kosong lebih kurang 10 jam. Dengan mengambil sarapan, paras glukosa ditingkatkan dan tenaga dibekalkan kepada tubuh badan. Glukosa yang mencukupi membantu kita kekal cerdas, cergas dan aktif.

2) Mengelakkan makan berlebihan

Apabila perut terlalu lapar, kita cenderung untuk makan dengan berlebihan. Pemilihan sarapan terutama yang kaya karbohidrat buatkan kita mampu menahan lapar. Kita juga mampu mengawal keinginan makan berlebihan sehingga waktu makan tengah hari tiba.

3) Meningkatkan daya tumpuan dan mengelakkan rasa mengantuk

Anak-anak yang mengambil sarapan kaya karbohidrat kompleks mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.  Selain itu, mereka juga boleh menyelesaikan masalah dengan baik dan meningkatkan kecerdasan memori. Rasa mengantuk dapat dielakkan kerana belajar dalam keadaan sudah kenyang.

4) Memastikan metabolisme badan pada tahap optimum

Apabila perut kosong dari bangun tidur hingga waktu tengah hari, otak akan menghantar signal bagi menurunkan metabolisme badan. Pengambilan sarapan sangat penting agar makanan yang diambil dapat dibakar dan digunakan dengan efektif. Bila kita bersarapan, ini meningkatkan kadar metabolisme supaya berada pada tahap optimum.

5) Mempengaruhi corak pemakanan sepanjang hari

Sarapan penting untuk membentuk corak pemakanan kita. Ada kajian yang menunjukkan sarapan pagi mempengaruhi tabiat pemakanan kita. Kalau mulakan hari dengan makanan tidak berkhasiat, kita cenderung mengamalkan pemakanan tidak sihat bagi sepanjang hari.

6) Membantu mengawal berat badan

Pengambilan sarapan boleh membantu mengawal dan menurunkan berat badan. Kajian oleh Food Facts Asia dan Universiti di Asia menunjukkan remaja usia 10 hingga 12 tahun yang mengambil sarapan kurang berhadapan masalah berat badan berlebihan. Selain itu, kajian terbitan Jurnal Pendidikan Obesiti menunjukkan 78 responden berjaya mengurangkan dan mengekalkan berat badan dengan pengambilan sarapan secara berterusan. Jadi siapa yang berazam nak turunkan berat badan, jangan tinggalkan sarapan pagi.

Pemilihan Sarapan Pagi

Penting untuk kita memilih sarapan pagi berkhasiat supaya mendapat nutrien yang lengkap. Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia, sarapan yang berkhasiat adalah makanan yang membekalkan karbohidrat, protein, susu dan produk tenusu. Jika kita hanya mengambil salah satu kumpulan makanan, ianya tidak baik untuk kesihatan kerana gagal memberikan nutrien lengkap.

Menurut Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, sarapan pagi penting dalam memulakan hari yang lebih bertenaga. Bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun, makanan rendah kandungan lemak, sederhana protein dan lemak serta tinggi kandungan vitamin dan mineral adalah pilihan terbaik.

Secara saintifik, kanak-kanak perempuan sekolah rendah perlukan 1,200-1,600 kalsium/harian (kcal/hari) manakala kanak-kanak lelaki perlukan 1,300-1,800 kcal/hari. Untuk mendapatkannya, mereka perlu makan 4-6 kali sehari kerana makan hidangan saiz kecil dengan kerap lebih baik daripada makan banyak sekaligus.

Kesan Meninggalkan Sarapan

Perut kita kosong lebih 12 jam jika kita tak bersarapan dan terus ke makan tengah hari. Ini menyebabkan metabolisme badan menurun untuk menyimpan tenaga simpanan kerana tak mendapat tenaga pada waktu pagi. Apabila terus makan tengah hari, apa yang dimakan tak dibakar dengan efektif kerana badan dalam mod rehat lalu menyebabkan penghasilan lemak dalam badan.

Apabila bangun dari tidur, paras glukosa adalah rendah dan tanpa bekalan secukupnya kita menjadi tidak aktif, otak mudah letih dan tidak bertenaga. Selain itu, tanpa sarapan, menjelang tengah hari kita menjadi sangat lapar dan mungkin makan lebih banyak daripada sepatutnya. Kita cenderung makan mengikut nafsu dan ini memberi kesan buruk kepada corak pemakanan kita.

Jadi jika ditanya pentingkah sarapan untuk kita? Jawapannya ya, ternyata pengambilan sarapan sangat penting dan membawa kesan negatif jika selalu ditinggalkan. Seharusnya masyarakat mengubah rutin harian mereka kerana meninggalkan sarapan membawa keburukan kepada kesihatan. Pengambilan makanan yang sederhana dan sesuai adalah kunci untuk kesihatan yang lebih baik.

Rujukan:

  1. http://www.suria.my/gaya_hidup/kebaikan-dan-kepentingan-sarapan/
  2. http://www.bharian.com.my/node/68630
  3. http://cikgunabil.com/2016/08/10/kepentingan-sarapan-pagi/
  4. http://nutrition.moh.gov.my/wp-content/uploads/…/kuasa-sarapan.pdf
  5. https://www.majalahsains.com/sarapan-pagi-penting-atau-tidak/
  6. https://my.theasianparent.com/manfaat-sarapan-pagi-yang-berkhasiat/
  7. https://kevinzahri.com/harian-metro-apakah-sarapan-yang-biasa-bagi-kevin-zahri/

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!