Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Rupanya Pakar Kulit Sendiri Mengelakkan Penggunaan Produk Wajah Ini

Hati-hati dengan produk wajah

Siapa yang tak mahu kulit wajah yang bersih, licin dan sihat, kan. Apa lagi melihat kebanyakan pakar dermatologi tampil dengan kulit wajah yang tidak bermasalah. Lalu pelbagai produk seperti sabun, toner, serum, pelembap dan sebagainya digunakan supaya kulit lebih berseri. Namun benarkah pakar-pakar kulit berkenaan menggunakan kesemua produk itu? Rupa-rupanya mereka sendiri mengelakkan penggunaan sesetengah produk penjagaan wajah ini.

Semburan pelindung matahari (Spray-on Sunscreen)

Semburan pelindung matahari adalah alternatif untuk mereka yang tak suka gunakan losyen. Walaupun begitu, pakar kulit Dr. Rachel Nazarian dari Schweiger Dermatology Group (New York) mengelakkan penggunaan produk ini. Bagi beliau, semburan ini tidak memberi lapisan yang cukup tebal mengikut paras SPF penuh seperti dinyatakan pada botol. Ini kerana, separuh dari semburan telah dibawa udara dan tidak kena pada kulit manakala separuh lagi telah disedut semasa bernafas. Jadi, ia bukanlah langkah yang bagus untuk melindungi kulit.

Pelindung matahari kimia (Chemical Sunscreen)

Pelindung matahari kimia seperti Octinoxate menggunakan bahan aktif bagi menyerap dan menghalang sinaran UV menembusi kulit. Sebaliknya, pelindung matahari fizikal membentuk satu lapisan perlindungan pada kulit dan memantulkan sinaran UV. Pakar kulit, Dr. Samer Jaber dari Washington Square Dermatology (New York) dan Dr. Nazarian memilih untuk menggunakan pelindung matahari fizikal(physical sunscreen) berbanding pelindung matahari kimia (chemical sunscreen).

Bagi Dr. Jaber, ia merupakan pilihan peribadi manakala Dr. Nazarian menyukai rumusannya yang lebih lembut. “Pelindung kimia sesekali merengsakan kulit namun pelindung fizikal seperti zinc oxide dan titanium dioxide lebih lembut serta melindungi dari sinaran ultraviolet” jelas beliau.

Toner

Minda kita sering disogok bahawa rutin penjagaan yang wajib adalah membersih, sekatakan dan melembapkan. Tapi jangan terkejut jika pakar dermatologi ini sendiri tak menggunakan toner.

“Banyak toner yang mengandungi alkohol yang boleh mengeringkan kulit tapi mungkin ianya sesuai untuk kulit jenis berminyak. Saya lebih suka semburkan air ros di wajah pada waktu pagi sebelum memakai vitamin C dan SPF. Kandungan pelbagai vitamin dan antioksidan dalam air ros membantu menghidratkan kulit saya dan meredakan radang kulit” akui Dr. Jennifer Chwalek dari Union Square Laser Dermatology.

Paraben

Paraben merupakan salah satu bahan digunakan dalam produk kosmetik untuk menghadkan pembentukan bakteria, kulat dan yis. Antara yang selalu digunakan ialah methyl, ethyl, propyl dan butyl parabens dan dijumpai dalam pelembap, bedak asas dan krim anti-penuaan. Walaupun masih tiada bukti kukuh bahaya paraben terhadap kesihatan, pakar dermatologi menjauhkan diri darinya kerana reputasinya yang buruk.

“Ia adalah bahan terlarang, jadi kenapa saya perlu ambil risiko menggunakannya?“ kata Dr. Kenneth Mark, seorang pakar dermatologi kosmetik.

Bagi Dr. Nazarian pula ianya bukanlah kerana faktor kesihatan semata-mata. “Jurnal yang saya baca dari penyelidikan beberapa tahun terdahulu menunjukkan potensi paraben untuk mempercepatkan penuaan. Saya tak mahu ambil walau sedikit risiko dan tak akan menggunakan paraben“ kata beliau lagi.

Sabun hotel

Apabila tersedia dalam bilik hotel yang dihuni, pasti anda tak fikir dua kali untuk gunakan sabun hotel. Namun ianya tidak bagus untuk kulit, apa lagi jika dipakai pada muka anda.

Jelas Dr. Jaber, beliau amat berhati-hati di hotel dan rela membawa sabun sendiri untuk kegunaanya. “Saya tak pernah gunakan sabun hotel kerana sangat mengeringkan kulit dan baunya terlalu wangi” katanya. Beliau juga setuju bahawa produk yang wangi boleh menyebabkan radang kulit dan patut dielakkan.

Scrubs pengelupasan (Exfoliating Scrubs)

Produk mengandungi microbeads (manik mikro) yang telah diharamkan sejak 2015 di Amerika Syarikat memang dielakkan oleh Dr. Nazarian dan Dr. Chwalek. Ini kerana pengelupasan kulit adalah tidak baik sama ada dilakukan secara mekanikal atau fizikal. Beliau menyukai produk pengelupasan secara kimia seperti glikolik atau produk yang membuang kulit mati secara lembut tanpa perlu digosok kasar.

“ Saya tidak pernah gunakan scrub sebaliknya menggunakan retinoid pada waktu malam kerana ianya pengelupas semulajadi. Saya ingin jimatkan masa daripada menggunakan scrub, lagipun ianya kadang-kadang mengeringkan kulit saya” kata Dr. Jaber.

Krim anti-penuaan dan anti-kedutan

Ramai yang sanggup berbelanja mahal dan berharap produk magis yang boleh membuat kulit mereka muda kembali. Walaupun terdapat lambakan krim anti-penuaan dan anti-kedutan, namun ianya tidak menjadi pilihan pakar kulit atau dermatologi. Tiada produk yang mampu menembusi lapisan kulit paling dalam dan meratakan kedutan dari bahagian dalam.

“Kajian sains masih belum menemui bahan atau produk yang mampu melambatkan proses penuaan walaupun dinyatakan pada botol produk. Kebanyakan krim anti-penuaan, krim anti-kedutan dan krim mata bertindak untuk meningkatkan kandungan air pada kulit. Ini membuatkan garis halus dan kedutan kurang kelihatan namun tindakannya hanya untuk sementara” jelas Dr. Fayne Fray, MD, New York based dermatologist.

 

Bagi orang yang berkemampuan mungkin mendapatkan rawatan kulit namun yang kurang mampu akan mencuba pelbagai produk di pasaran. Maka berlumba-lumbalah mereka membeli pelbagai set penjagaan wajah secara rambang. Hakikatnya, ada produk yang kita fikir penting untuk kulit tapi sebenarnya tidak digunakan pun oleh pakar kulit. Jadi, kita perlu membuat pilihan dengan bijak dan jangan mudah terpengaruh dengan iklan semata-mata.

 

Sumber:

  • Huffington Post
  • Bright Side
  • Reader’s Digest
  • LiveStrong.com

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!