Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Senggugut Teruk, Mungkinkah Punca Rahim Bermasalah?

Kalau selalu senggugut teruk, mesti susah mengandung

Senggugut kau tak pulih lagi? Lagi lambatlah mak kau timang cucu

Biasa dengar tak ungkapan macam kat atas tu? Biasanya, itu yang selalu diucapkan kepada wanita-wanita yang ada masalah senggugut teruk. Mungkinkah senggugut yang teruk menjadi punca rahim bermasalah di masa hadapan? Senggugut menurut definisi kesihatan adalah kesakitan pada bahagian bawah perut atau pelvis semasa tempoh haid. Pelvis pula ialah tempat rahim, ovari, salur falopio dan pundi kencing berada.

Senggugut boleh sahaja menyerang pelbagai peringkat umur, dari wanita 20an hingga ke 40an. Menurut Pakar Sakit Puan, Dr Hamid Arshat penyakit ketumbuhan di bahagian rahim seperti Fibroid dan Adenomyosis yang dulu melibatkan wanita 40an kini menyerang wanita seawal 20an. Senggugut yang dialami berkemungkinan petanda penyakit seperti Fibroid, Endometriosis dan Adenomyosis.

Fibroid

Terjadi apabila berlaku ada bengkak atau pertumbuhan pada rahim. Lazimnya hampir tiada tanda dan gejala menyebabkan kehadirannya tidak disedari oleh pesakit. Namun kesakitan boleh dirasai ketika haid yang banyak.

Endometriosis

Dihadapi oleh hampir 5-15% wanita yang mempunyai haid. Endometriosis terjadi apabila tisu-tisu darah haid tumbuh di kawasan luar rahim.

Adenomyosis

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pertumbuhan tisu di bahagian dalam rahim. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang terlalu banyak atau lama.

Risiko Berkaitan Rahim Bermasalah

  • Sukar untuk hamil
  • Sering mengalami keguguran
  • Infertiliti (tidak dapat mengandung) atau mandul
  • Gangguan mental (stres dan tidur terganggu)
  • Kesukaran untuk membuang air kecil dan air besar

Wanita yang selalu mengalami senggugut berisiko untuk berdepan dengan masalah rahim dan penyakit yang lebih kronik. Walaupun begitu, ada wanita yang mempunyai Fibroid tetapi masih mampu hamil dan melahirkan anak tanpa ada gangguan.

Antara punca penyakit ini adalah disebabkan faktor baka atau keturunan. Oleh itu, anak perempuan berisiko menghidapi penyakit sama jika ada ahli keluarga yang pernah mengalami penyakit berkaitan rahim. Selain itu, faktor pemakanan juga boleh mempengaruhi pertumbuhan penyakit berbahaya ini. Amalan memakan makanan ringan boleh melemahkan sistem imun dan pertahanan badan lalu mengundang pelbagai penyakit.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya lebih sensitif dan waspada dengan keadaan anak perempuan yang sedang kedatangan haid. Jika mereka mengalami senggugut, kesakitan atau keadaan yang luar normal seharusnya mereka dirujuk kepada doktor atau pakar sakit puan. Ini penting sebagai langkah berjaga-jaga dan mendapatkan kepastian jika terdapat sebarang masalah berkaitan sistem peranakan.

Sumber: MingguanWanita || PORTAL MyHEALTH

 

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!