Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Tahu Tak, Ini Antara 11 Makanan Paling Bahaya Di Dunia!

Makan untuk hidup atau hidup untuk makan, mana pilihan anda? Makan adalah keperluan asas untuk kelangsungan hidup. Namun harus berhati-hati dan tidak terlalu obses mencuba makanan ekstrim. Pelik, tapi memang ada individu yang gemarkan makanan di luar kebiasaan. Ayuh lihat apa antara makanan paling bahaya dan pelik di dunia.

Daging Proses

Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 26 Oktober 2015 menyatakan bahawa daging proses boleh menyebabkan kanser usus manakala daging merah pula karsinogenik (ada potensi menyebabkan kanser). Daging proses adalah termasuk hot dog dan sosej kerana mengandungi agen karsinogenik seperti tembakau, asbestos dan asap diesel.

Absin

Merupakan minuman alkohol yang diperbuat daripada Apsintus (sejenis tanaman), adas manis dan jintan manis. Minuman ini mengandungi thujone, sejenis bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan halusinasi, gangguan sosial dan sawan.

Sotong Kurita Hidup

Bukan perkara asing memakan makanan yang masih hidup seperti sotong kurita di Korea dan Jepun. Sotong ini akan dicincang dan ditambah perisa hidup-hidup. Namun awas kerana tiub sedut sotong ini masih aktif walaupun dipotong dan mungkin lekat di kerongkong dan menyebabkan lemas.

Cendawan Liar

Hati-hati bagi penggemar cendawan liar. Cendawan liar jenis ‘Death Cap’ sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa. Anda mungkin muntah dan sakit pada abdomen pada mulanya. Namun jika dimakan dengan banyak boleh merosakkan hati, buah pinggang, jantung serta membawa kematian.

Ikan Buntal (Fugu/ Pufferfish)

Pelik namun spesies bahaya ini tetap mempunyai peminatnya tersendiri. Malah di Jepun, tukang masak dilatih bertahun-tahun teknik membuang toksin pada ikan ini. Mana kan tidak, toksin padanya adalah 1,200 kali ganda lebih beracun daripada sianida. Bayangkan, hanya sedikit toksin (satu mata peniti) sudah mengancam nyawa anda.

Buah Ackee

Sejenis buah yang digemari di Jamaica. Ia hanya boleh dimakan setelah ranum dan dimasak dengan cara yang betul. Memakannya secara mentah bukan sahaja meyebabkan muntah teruk, malah toksinnya mampu membunuh anda.

Ubi Kayu (Cassava) Mentah

Bukan saja popular di Malaysia, malah di benua Afrika dan Amerika Selatan. Ubi kayu tak boleh dimakan mentah-mentah kerana enzimnya akan bertukar kepada sianida yang beracun.

Kacang Tanah

Memang bukan makanan beracun tapi cukup bahaya kepada mereka yang ada alergi atau alahan kacang. Oleh itu tak hairan kacang adalah penyebab nombor satu kematian disebabkan oleh alergi makanan.

Kacang Gajus Mentah

Walaupun banyak dijual, ini tak bermakna anda boleh makan kacang gajus mentah terus dari pokoknya. Ini kerana kacang yang mentah (kuantiti banyak) ada toksik yang mengancam nyawa manakala yang dijual sudah dibuang bahan kimia berbahaya.

Taugeh

Sayuran yang paling cenderung mempunyai E. coli, salmonela dan listeria (bakteria yang hidup dalam cuaca panas dan lembab). Kes pada tahun 2011 mencatatkan taugeh yang ditanam di Jerman menjadi punca wabak E. coli menyebabkan 22 orang maut dan ratusan lagi sakit.

Kerang-kerangan (Shellfish)

Juga makanan berbahaya bagi mereka yang alah atau alergi dengannya. Sesetangahnya mungkin mengalami gejala ringan seperti gatal, bengkak atau sakit abdomen. Namun keadaan boleh membawa maut jika lebih serius seperti mengalami kejutan anafilaksis yang menyebabkan pernafasan terhenti.

 

Nah, ada makanan yang pelik namun banyak juga yang boleh didapati di negara kita. Apa yang pasti semuanya ada bahaya yang tersendiri. Tapi, sanggupkah anda mencubanya atas tiket ’keberanian’, ’cabaran’ atau sekadar ’teruja’. Tepuk dada dan tanyalah hati, jangan sampai menyesal di kemudian hari.

Sumber: Msn.com

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!