Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Tinggi Kolesterol Bukan Pada Orang Berbadan Besar, Orang Kurus Juga Berisiko

Cara Menurunkan Kolesterolkolesterol

Orang berbadan besar atau obesiti sering dikaitkan dengan masalah kesihatan. Bila berbadan gemuk, mesti kita anggap mereka berisiko menghidap kencing manis. Bila  berbadan gempal, mesti kita anggap mereka berisiko penyakit jantung dan kolesterol tinggi.

Memang berat badan yang berlebihan boleh menjadi signal kepada risiko penyakit. Tetapi, sekurang-kurangnya individu yang berlebihan berat badan akan lebih cakna dengan tahap kesihatan mereka. Berbeza dengan orang yang kurus. Kebanyakan orang menganggap individu yang memiliki berat badan yang ideal bebas dari masalah kesihatan yang berkaitan kolesterol. Jangan terperanjat! Tahap kolesterol tinggi tidak menyebabkan kegemukan. Ia hanya mendap dalam pembuluh darah. Orang kurus juga turut berisiko mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Tahukah anda, 2 daripada 5 rakyat Malaysia iaitu 38.6% atau kira-kira 7.8 juta rakyat Malaysia, tidak sedar bahawa mereka mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Ini menunjukkan angka yang sangat membimbangkan. Malah, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 (NHMS), 73% daripada jumlah kematian di Malaysia disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit (NCDs). Yang mana penyakit akibat paras kolesterol yang tinggi seperti sakit jantung dan strok menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kematian tersebut.

Oleh sebab itu, amat penting untuk anda mengetahui apa itu kolesterol serta tanda-tanda paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

Apa itu Kolesterol?

Kolesterol adalah sejenis lemak (dikenali sebagai lipid) yang terdapat dalam darah untuk membantu tubuh badan anda berfungsi. Molekul kolesterol diangkut melalui darah dalam kapsul protein yang dikenali sebagai lipoprotein, terdapat dua jenis kolesterol yang utama iaitu:

Kolesterol LDL (Low Density Lipoprotein) cenderung untuk termendap dalam pembuluh darah yang menyebabkan salur darah tersumbat dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Kolesterol HDL (High Density Lipoprotein) mencegah salur darah jantung dari tersumbat dengan mengurangkan mendapan kolesterol dalam saluran darah. Ia menurunkan risiko serangan jantung.

Kolesterol penting bagi sel dalam badan anda. Tetapi paras kolesterol yang tinggi boleh memudaratkan sehingga menyebabkan penyakit seperti sakit jantung dan strok. Apabila paras kolesterol tinggi, ia akan berkumpul dalam arteri (pembuluh darah utama yang membawa darah dari jantung). Pengumpulan kolesterol ini akan menyebabkan arteri anda menjadi sempit dan membuatkan darah sukar mengalir secara normal. Hal ini  boleh membawa kepada pembekuan darah yang bahaya dan keradangan yang akhirnya menjadi serangan jantung dan strok.

Tanda-tanda Kolesterol Tinggi Dalam Darah

Sebenarnya, paras kolesterol yang tinggi tidak menjadikan anda sakit. Itulah sebabnya ramai yang tidak sedar bahawa mereka mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Hanya ujian darah sahaja yang boleh membantu anda mengesan tahap kolesterol dalam darah anda. Itulah sebabnya, anda sangat disarankan untuk menjalani ujian darah sekurang-kurangnya 1 kali dalam setahun.

Namun begitu, terdapat juga beberapa tanda yang mungkin berlaku akibat daripada kadar kolesterol yang tinggi dalam darah, antaranya :

1) Kebas kaki

Kaki sering kebas adalah salah satu gejala tahap kolesterol tinggi. Ini terjadi kerana salur darah tersumbat dan menyebabkan aliran darah ke kaki tidak lancar.

2) Sakit dada

Apabila pembuluh darah sudah tersumbat, jantung tidak akan mendapat oksigen yang cukup dari darah. Oleh sebab itu, jantung terpaksa bekerja kuat untuk dapatkan bekalan oksigen yang mencukupi. Perkara ini akan menyebabkan anda terasa sakit di bahagian dada.

3) Mengantuk

Paras kolesterol yang tinggi akan menyempitkan pembuluh darah. Ini menyebabkan aliran darah yang membawa oksigen ke otak berkurang. Hal ini menyebabkan anda kerap rasa mengantuk.

4) Bintik putih kekuningan bawah mata

Bintik putih kekuningan pada kulit terutama di bahagian bawah mata juga dikenali sebagai Xanthoma. Bintik ini terjadi disebabkan oleh penggumpalan lemak dan kolesterol yang tinggi dalam darah.

5) Letih

Badan anda memerlukan tenaga untuk melakukan pelbagai kerja. Dalam badan anda juga terdapat lemak yang boleh berubah menjadi tenaga. Tetapi, sekiranya kolesterol tinggi dalam darah, ia mengakibatkan bekalan oksigen tidak mencukupi untuk proses tersebut. Inilah yang menyebabkan anda terasa cepat letih.

6) Sesak nafas

Sesak nafas boleh terjadi kepada orang yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi. Ini kerana paru-paru tidak dapat bekalan oksigen yang mencukupi akibat kolesterol tinggi yang menyebabkan pembuluh darah menjadi sempit.

7) Badan tidak seimbang

Pesakit kolesterol tinggi juga boleh mengalami masalah keseimbangan badan. Ini berkait rapat dengan masalah pembuluh darah yang tersumbat. Sekiranya terdapat pembuluh darah di bahagian otak yang tersumbat akibat kolesterol tinggi, saraf yang berperanan mengawal keseimbangan badan akan mengalami gangguan.

Faktor Kolesterol Tinggi Dalam Darah

Terdapat banyak sebab yang mengakibatkan paras kolesterol tinggi dalam darah, antaranya :

1) Keturunan

Sekiranya anda mempunyai keturunan yang mepunyai paras kolesterol yang tinggi, ini bermakna anda juga terdedah kepada risiko kolesterol yang tinggi. Oleh itu, amat penting untuk anda melakukan ujian darah untuk memastikan tahap kolesterol anda pada julat yang normal.

2) Usia

Tahap kolesterol mula meningkat pada umur anda 20 tahun. Jadi, anda perlu hargai hidup dan menjaga kesihatan anda seawal umur 20 tahun agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

3) Tidak aktif

Senaman membantu menurunkan kadar kolesterol dalam badan. Sekiranya anda terlalu sibuk sehingga susah mencari masa untuk bersenam, mungkin anda boleh mulakan rutin senaman ringan di tempat kerja. Sebagai contoh, banyakkan berjalan dan naik turun tangga.

4) Obesiti

Orang yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung untuk mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Semakin banyak lemak dan kolesterol dalam badan anda, semakin banyak penyakit yang akan datang kepada anda. Jadi, sangat penting untuk pastikan body mass index (BMI) anda adalah ideal. Namun ia tidak bermakna, orang kurus itu tidak berisiko untuk tinggi kolesterol.

5) Pemakanan

Antara makanan yang tinggi kolesterol adalah kuning telur, hati, mentega dan makanan laut. Malah, makanan ringan dan makanan yang diproses juga mengandungi kolesterol yang tinggi. Itulah sebabnya, anda perlu menjaga diet pemakanan anda. Ini kerana, ia bukan sahaja untuk mengawal paras kolesterol tetapi juga untuk menjaga kesihatan anda secara optimum.

Kesihatan anda sangat bergantung kepada apa yang anda makan. Sepertimana yang disebut oleh al-Harith bin Abi Kaladah, seorang ahli perubatan Arab, “Perut itu rumah bagi penyakit dan diet pula adalah ketua bagi segala penawar.”

Cara Menurunkan Kolesterol

Gaya hidup sihat adalah cara yang paling ideal untuk menurunkan tahap kolesterol yang tinggi dalam darah. Amalan senaman setiap hari dapat menurunkan tahap kolesterol dalam darah. Selain itu, pemakanan yang sihat juga perlu diamalkan. Kurangkan menu makanan yang berminyak dan berlemak. Selain itu, banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi serat.

 

Rujukan :

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!