Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Tips Berdepan Dengan Mertua Garang

Setiap pasangan mengimpikan rumah tangga yang bahagia. Apabila berkahwin, pasti rutin harian pasangan terbabit berubah dengan serta-merta. Tidak sama dengan kehidupan mereka ketika masih bujang. Ditambahkan lagi dengan kehadiran anak-anak yang pasti menceriakan suasana.

Tidak dilupakan ialah kehadiran mertua dan ipar duai di kedua-dua belah pihak. Adakala kehadiran mereka di dalam kehidupan pasangan menambahkan keceriaan. Tidak kurang juga hanya menambah kedukaan.

Topik kali ini, tumpuan lebih kepada si mertua garang. Kerap kali juga di television, surat khabar, majalah atau cerita di sana-sini menyerlahkan konflik antara si menantu dan si mertua garang.

Antara isu-isu yang biasa berlaku ialah:

Tidak setuju dengan pilihan anak

Inilah kes yang amat popular. Si ibu bapa sudah berkenan dengan orang lain dan ingin menjadikannya sebagai menantu. Pilihan si ibu bapa dirasakan amat sesuai untuk masa depan si anak.

Sedangkan si anak pula sudah ada pilihan hati. Bagi si anak, pilihan hatinya adalah yang terbaik dan amat menyenangkan hati. Ditambah pula hubungan terjalin sudah lama dan mereka sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Masuk campur

Ada ketikanya si mertua garang masuk campur di dalam urusan keluarga si anak. Ada saja isu yang dimainkan. Kadangkala isu tersebut boleh merenggangkan hubungan sesama mereka.

Ada juga permintaan-permintaan si mertua garang yang tidak mampu ditunaikan oleh si menantu. Tetapi disebabkan atas rasa hormat dan sayang, si menantu tetap sedaya upaya memenuhi tuntutan si mertua garang.

Antara contoh yang boleh diberi ialah isu pembelian rumah. Si menantu tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh untuk membeli rumah sendiri. Jadi pemintaan untuk membeli rumah memang sukar dipenuhi.

Kadang-kadang si anak tidak menghadapi masalah jika tidak memiliki rumah kerana faham dengan kewangan pasangannya. Tetapi si mertua garang pula yang tetap mendesak si menantu untuk membeli rumah.

Di atas adalah antara contoh konflik atau pergaduhan yang biasa berlaku di antara si menantu dan si mertua garang. Apabila berlaku keadaan ini, si anak menjadi tersepit. Tidak tahu sama ada ingin menyebelahi si ibu bapa atau si pasangan. Mereka adalah insan kesayangannya.

Namun, si menantu boleh melakukan beberapa ikhtiar  jika berhadapan situasi begini. Jangan biar situasi yang tidak menyenangkan ini berlarutan sampai bila-bila. Ambil ia sebagai satu cabaran untuk si menantu.

Si menantu ambil peluang ini untuk membuktikan bahawa si menantu adalah insan terbaik untuk si anak, layak masuk di dalam keluarga pasangan dan yang paling penting ialah menjadi menantu yang paling disayangi.

Antara ikhtiar yang boleh dilakukan untuk menjinakkan si mertua garang ialah:

Sabar

Setiap ujian amat menuntut kesabaran yang tinggi bagi sesiapa yang bertuah dipilih oleh Allah SWT untuk diuji. Jika berlaku apa jua konflik di antara si menantu dan si mertua garang, hadapilah dengan sabar dan tenang.

Apabila sabar dan tenang, secara tidak langsung si menantu mempamerkan kematangan dan kewibawaan di mata si mertua garang. Walau apa isu pun, si menantu tidak melenting malah mampu tersenyum dan berkomunikasi dengan penuh tenang.

Sedikit sebanyak, si mertua garang pasti kagum dan hormat dengan kesabaran, ketenangan dan kematangan si menantu.

Berdoa

Bagi umat Islam, doa adalah senjata ampuh apabila berhadapan dengan apa jua kesulitan. Apabila berlaku konflik di antara si menantu dan si mertua garang, doakan si mertua garang supaya boleh menerima si menantu dengan baik.

Doakan yang baik-baik saja untuk si mertua garang. Contohnya doakan semoga hubungan si menantu dengan si mertua garang bertambah harmoni atau apa-apa sahaja untuk hubungan kedua-dua belah pihak.

Tampil kehebatan tanpa meninggikan diri

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Begitu juga dengan si menantu. Mungkin si mertua garang ada menantu-menantu lain yang lebih hebat namun kehebatan masing-masing adalah tidak sama.

Mungkin dengan kehebatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada si menantu boleh mendatangkan rasa hormat di hati si mertua garang, jadi apa salahnya ia dipamerkan. Namun bukan niat untuk riak atau berlagak.

Mungkin si menantu boleh mempamerkan kehebatan menyelesaikan suatu masalah yang menimpa si mertua garang. Jadi  tunjuklah kehebatan itu jika ia mendatangkan kebaikan.

Tetap rapat dan hormat dengan si mertua garang

Walau apa jua konflik sekalipun, walau macam mana hebat pun perselisihan faham antara si menantu dan si mertua garang, teraplah rasa hormat dan sayang terhadap si mertua garang. Si mertua garang adalah orang tua. Anggap mereka seolah-olah ibu bapa kandung sendiri.

Anggap sahaja teguran –teguran si mertua garang itu adalah bukti kasih sayang dan masih ada rasa ambil peduli atas hal ehwal hidup si menantu. Kalau si mertua garang tidak hiraukan si menantu, mana mungkin si mertua garang melakukan teguran.

Berikan penjelasan dan hujah-hujah mantap serta contoh yang boleh diterima akal

Apabila si menantu dihimpit dengan permintaan-permintaan melampau daripada si mertua garang, ambil peluang ini untuk memberi penjelasan yang paling mantap supaya si mertua garang faham dengan keadaan si menantu.

Sertakan sekali dengan hujah-hujah yang boleh terima akal, ada faktanya dan contoh-contoh yang tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Jika ini dapat dilakukan ada kemungkinan si mertua garang memahami dan bersetuju dengan si menantu.

Tetapi sampaikan penjelasan dengan tenang, disertai intonasi suara yang meyakinkan tanpa ada niat mengkritik sesiapa pun. Jika si menantu mengkritik sesiapa pun, lebih-lebih lagi menyentuh keperibadian seorang daripada ahli keluarga si mertua garang, dikhuatiri timbul konflik lain pula.

Puji Mertua

Manusia suka dipuji. Begitu juga dengan si mertua garang. Si menantu boleh lakukan pujian dengan keikhlasan tanpa ada niat untuk mengampu atau menyindir. Cuma pastikan pujian yang diberikan adalah betul dan benar terutamanya menyentuh keperibadian atau kemahiran tertentu yang dimiliki oleh si mertua garang.

Contohnya si menantu boleh memuji masakan ibu mertua yang sedap, menyelerakan dan berjaya membuat si menantu ketagih. Si menantu boleh juga memuji bacaan Al-Quran si bapa mertua yang merdu, mantap dan hampir menyamai kemerduan suara Imam Masjid Negara.

Kesimpulan

Di mana-mana sahaja ada konflik. Tidak kisah dengan sesiapa pun pasti boleh berlaku konflik. Konflik si menantu dengan si mertua garang adalah salah satu contoh yang ada di dalam masyarakat kita.

Setiap konflik pasti ada jalan penyelesaian. Jadi jadikan jalan penyelesaian tersebut untuk membantu menamatkan apa jua konflik termasuk konflik si menantu dengan si mertua garang. Walau garang macam mana pun si mertua garang, mereka boleh dijinakkan dengan penuh lemah lembut.

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!