Hantar ArtikelJom Sertai Kami Sebagai Penulis ||Daftar||

Ulser Mulut Bukan Sekadar Menyakitkan Malah Mungkin Petanda Awal Kanser

Jangan ambil ringan gais…

Tahukah anda, ulser mulut bukanlah suatu penyakit namun perlu diberi perhatian. Ia bukan sekadar menyakitkan malah mungkin petanda awal kanser. Ulser mulut ialah keadaan luka yang merosakkan selaput di dalam mulut. Bagaimana nak tahu kita dah mula ada ulser pada mulut? Bermula dengan munculnya tompokan putih di bahagian pipi, mulut atau lidah. Ini diikuti rasa sakit, pedih dan bengkak di sekitarnya. Keadaan ini sering dialami oleh sesiapa sahaja terutamanya golongan wanita.

Kesannya, kita rasa tak selesa, sakit dan sukar bercakap. Corak pemakanan juga terganggu kerana rasa pedih membuatkan kita hilang selera makan. Kesakitan lebih terasa jika kita makan makanan pedas, panas atau masin. Ada sesetengah keadaan yang memerlukan rawatan lanjut contohnya jika ulser tidak atau lambat sembuh.

Penyebab Terjadinya Ulser Mulut

Banyak penyebab terjadinya ulser mulut sama ada faktor fizikal atau luaran seperti

1.  Kecederaan/ trauma:

  • tergigit bahagian mulut
  • gigi/ tampalan yang tajam
  • gigi palsu/ pendakap gigi (braces) yang tidak sempurna

2.  Kehadiran penyakit tertentu seperti kanser/ barah

3.  Jangkitan bakteria atau virus di dalam mulut

4.  Ubat-ubatan tertentu seperti sitotoksik, Nicorandil dan Alendronate

5.  Keadaan mulut yang kurang bersih

6.  Faktor pemakanan atau kekurangan zat makanan tertentu

Tindakan dalam menghadapi ulser mulut

Terdapat beberapa tindakan yang boleh dibuat dalam menghadapi ulser mulut.

Menjaga kebersihan mulut boleh mengurangkan risiko mendapat jangkitan sekunder. Oleh itu, penting untuk kita amalkan rutin penjagaan mulut secara teratur. Selain itu, penggunaan ubat kumur atau semburan benzydamine membantu meredakan rasa sakit.

Faktor pemakanan turut memainkan peranan untuk menyembuhkan ulser mulut. Ini termasuk mengamalkan diet yang lembut dan minum air secukupnya. Di samping itu, kita perlu mengelakkan pengambilan alkohol, tembakau dan makanan bergoreng atau berempah.

Seharusnya kita lebih peka dengan sebarang perubahan pada ulser itu. Jika tindakan awal sudah diambil tetapi ulser mulut berlarutan, awas kerana keadaan mungkin lebih serius. Adalah penting untuk berjumpa dengan doktor gigi atau doktor perubatan jika keadaannya di luar kebiasaan. Ini termasuk saiz ulser yang lebih besar (melebihi 2mm), ulser berdarah dan tidak sembuh dalam 3 minggu. Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan kerana ulser yang berlarutan ini mungkin tanda awal kanser.

Sumber: Portal MyHealth, Aliff Channel

Kongsikan pendapat anda.

error: Content is protected !!